penjagaan pesakit stroke

Penjagaan pesakit stroke dan pesakit terlantar (bedridden) yang lain memerlukan komitmen dari penjaga dan memakan belanja yang besar.

Kebiasaannya, sebelum pesakit dibenarkan pulang ke rumah setelah keadaan stabil, penjaga akan dikenalpasti dan diajar cara penjagaan pesakit di rumah. Secara amnya, apa yang perlu dipelajari oleh penjaga pesakit ialah seperti berikut.

.

TIPS PENJAGAAN PESAKIT STROKE & PESAKIT TERLANTAR (BEDRIDDEN) LAIN

.

1# Kebersihan Diri

Pesakit stroke dan pesakit terlantar disebabkan masalah kesihatan lain, boleh jadi memerlukan bantuan untuk penjagaan kesihatan diri asas setiap hari.

Ini termasuklah mandi, penjagaan kebersihan mulut (berus gigi dan berkumur), memakai pakaian, memotong kuku, merapi dan memotong rambut, misai dan janggut, menukar cadar katil dan menukar pampers.

Jika pesakit boleh berjalan dengan sokongan, tiada masalah jika pesakit mahu mandi di tandas. Sebaliknya, pesakit juga boleh ‘dimandikan’ di katil dengan hanya mengelap seluruh badan pesakit menggunakan kain yang dibasahkan dengan air suam.

Anda mungkin mahu melapik dengan sesuatu yang kalis air terlebih dahulu, atau boleh juga menukar cadar selepas selesai mengelap psakit.

Cara yang paling mudah ialah dengan mengiringkan pesakit ke sebelah kanan atau kiri, gulungkan pelapik atau cadar. Kemudian, mengiringkan pesakit di sebelah lagi satu dan lakukan yang sama. Dengan cara ini, anda boleh mengeluarkan pelapik atau cadar yang lama, serta menggantikan dengan yang baru serentak.

Untuk menukar pampers juga, anda boleh lakukan semasa menukar cadar atau pelapik ini. Untuk pesakit yang terlantar sepenuhnya, pampers jenis ‘straps’ (ada pelekat di tepi) lebih memudahkan berbanding jenis sarung.

 

.

2# Penjagaan Untuk Mencegah Bedsores

Cabaran menjaga pesakit terlantar ialah untuk mencegah bedsores kerana mereka sangat berisiko untuk mengalaminya disebabkan keadaan mereka yang tidak atau kurang bergerak.

Bedsores terjadi akibat tekanan berpanjangan ke atas badan terutamanya terhadap struktur bertulang menyebabkan struktur kulit ‘terkoyak’, lalu berisiko mengalami jangkitan.

Antara kawasan yang kerap mengalami bedsores ialah punggung dan tumit.

penjagaan pesakit stroke

Sebagai penjaga, anda boleh mencegah bedsores melalui langkah-langkah berikut:

  • menukar posisi pesakit setiap 2 jam sekali – boleh baringkan pesakit, telentangkan pesakit (tidak sesuai untuk pesakit yang mempunyai tiub tracheostomy) dan mengiring ke sisi.
  • menggunakan tilam lembut dipanggil Ripple mattress
  • boleh juga menggunakan pelampung untuk kawasan bertulang di punggung dan tumit, atau kawasan yang sudahpun ada bedsores untuk mencegah ianya melarat (luka bedsores di ‘lubang’ pelampung supaya tiada tekanan ke atasnya)
  • memeriksa pesakit secara keseluruhan semasa memandi atau mengelap badan pesakit

.

3# Pemakanan dan Nutrisi

Walaupun pesakit hanya boleh mendapatkan makanan melalui tiub makan (Ryles tube) sahaja, cuba untuk pastikan pesakit mendapat nutrisi seimbang dan kalori yang mencukupi.

Secara puratanya, pesakit memerlukan kira-kira 2000 kalori setiap hari.

Sebaiknya dapatkan nasihat doktor atau pakar nutrisi terlebih dahulu, terutamanya jika pesakit mempunyai masalah kesihatan kronik seperti kencing manis dan masalah buah pinggang.

.

4# Penjagaan Tiub-tiub Pada Pesakit

Amnya, tiub-tiub yang dipasang pada pesakit perlu ditukar setiap 2 minggu (atau bergantung kepada arahan doktor), atau bila perlu (contohnya, terdapat jangkitan atau tiub terlalu kotor).

Antara tiub yang dipasang pada pesakit dan cara penjagaannya ialah:

Tiub untuk makan (RT, Ryles Tube) – Pastikan anda diberitahu tiub makan itu di’anchor’ pada berapa cm (contohnya tiub itu ditampal pada hidung pesakit pada paras 55cm). Periksa paras ini setiap hari dan pastikan anda sedut tiub terlebih dahulu sebelum memberi makanan atau minuman kepada pesakit. Dapatkan nasihat doktor sekiranya tiub terkeluar dari paras asal atau sedutan mempunyai darah fresh, berwarna ‘coffee-ground’ atau sedutan sangat banyak (menandakan pesakit mengalami masalah ketidakhadaman makanan sebelumnya).

Tiub kencing (CBD) – Pastikan tiada kebocoran dan tidak boleh dikeluarkan dengan mudah. Lihat juga warna air kencing yang mengalir. Dapatkan nasihat doktor sekiranya warna air kencing keruh, berbau busuk, berwarna seperti teh ‘O atau darah fresh.

Kuantiti air kencing pesakit juga penting terutamanya jika pesakit tidak sihat (contoh demam). Jumlah air kencing normal ialah kira-kira 0.5-1ml bagi setiap kg berat pesakit untuk setiap jam. Contohnya pesakit dengan berat 50kg, biasanya menghasilkan air kencing sebanyak 25-50ml setiap jam.

Uridorm pula ialah sarung yang dipakai pada pesakit lelaki yang tidak memerlukan CBD. Kontra penggunaan uridorm ialah ianya sangat mudah bocor dan tertanggal.

Tiub trachy – Adalah penting mengetahui cara penjagaan tiub ini dengan teliti kerana tiub ini merupakan ‘nyawa’ pesakit. Tiub trachy yang tidak dijaga dengan baik sangat mudah tersumbat. Dan tiub trachy yang tersumbat boleh mengancam nyawa pesakit!

Untuk itu, pastikan sedutan dibuat secara berkala oleh penjaga yang telah diajar. Untuk pesakit yang tidak batuk atau kahak sedikit, sedutan boleh dilakukan setiap 4-6 jam. Pesakit yang mempunyai kahak yang banyak pula, seeloknya disedut tiub ini setiap 1-2 jam atau lebih kerap jika perlu.

Cara menyedut tiub ini ialah menggunakan mesin suction khas. Masukkan tiub sedutan ke dalam tiub trachy sehingga anda merasakan halangan. Kemudian, tarik keluar sedikit dan barulah lakukan sedutan. Ini adalah untuk mengelakkan anda menyedut dinding bronkus (salur pernafasan) dan melukakannya. Sedutan dilakukan dengan menarik keluar tiub sedutan secara perlahan-lahan dalam arah pusingan.

Terdapat banyak jenis tiub trachy. Tempoh menukar tiub trachy adalah bergantung kepada jenisnya. Tanya doktor untuk info yang lebih tepat.

penjagaan pesakit stroke

.

5# Persekitaran & Suasana Tempat Tinggal

Nampak ringan tetapi suasana sekeliling memainkan peranan penting untuk emosi pesakit. Walaupun terlantar, pesakit juga manusia biasa yang masih mempunyai emosi.

Tempatkanlah katil pesakit di tempat yang mempunyai cahaya yang terang, sebaiknya di tepi tingkat dengan cahaya matahari semulajadi. Pesakit pun boleh menikmati pemandangan dunia luar.

Pastikan juga pengudaraan dalam bilik adalah baik dan yang paling penting, rajin-rajinlah berborak dengan pesakit setiap hari.

.

6# Senaman

Oleh kerana keadaan pesakit kurang atau tidak langsung bergerak, otot-otot mereka lebih cepat ‘mengecut’ (muscle atrophy) menjadikan kaki dan tangan tidak kuat.

Apa yang boleh anda bantu ialah melakukan senaman pasit untuk pesakit, seperti mengurut pesakit, melipat dan meluruskan sendi-sendi.

Selain itu, lakukan chest physio secara berkala dengan membuat perkusi di bahagian dada dan belakang pesakit. Ini sangat membantu lebih-lebih lagi jika pesakit ada batuk-batuk.

Pesakit yang sedar dan boleh memahami arahan pula, anda boleh galakkan senaman bernafas dalam-dalam (DBE, Deep Breathing Exercise) untuk ‘membuka’ paru-paru. Arahkan pesakit tarik nafas perlahan-lahan dalam-dalam, kemudian tahan 3 saat dan lepaskan nafas perlahan-lahan. Buat beberapa kali setiap hari untuk paru-paru yang kuat. Senaman ini penting untuk mencegah orthostatic pneumonia, iaitu jangkitan paru-paru disebabkan pesakit yang terlantar.

penjagaan pesakit stroke

Kesimpulannya, penjagaan pesakit stroke dan terlantar adalah tidak mudah, memerlukan komitmen dan tahap kesabaran yang tinggi selain memakan kos perbelanjaan yang agak besar.

Sebagai penjaga dan ahli keluarga pesakit, ambil iktibar dari apa yang terjadi. Mencegah adalah lebih baik dari merawat. Sementara masih dipinjamkan kesihatan yang baik, amalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat. Sayangi orang yang anda kasihi dan hargai mereka selagi masih ada.

Kategori

Arkib

SUBSCRIBE

WhatsApp chat