diabetes semasa hamil

Ibu hamil bukan sahaja membawa berita gembira kepada seluruh keluarga terutamanya si suami.

Namun kehadiran nyawa baru di dalam rahim itu juga membawa risiko kesihatan tertentu kepada ibu.

Salah satunya ialah diabetes semasa hamil yang tidak asing lagi dalam dunia kehamilan.

.

Apa Itu ‘Diabetes Semasa Hamil’?

.

Diabetes semasa hamil, juga dikenali sebagai gestational diabetes mellitus (GDM), ialah satu masalah metabolik di mana ibu hamil mengalami kerintangan insulin berlebihan yang dikenalpasti selepas 24 minggu kehamilan.

Insulin ialah hormon yang bertanggungjawab memindahkan glukosa dalam darah kepada sel-sel untuk digunakan sebagai tenaga.

Kerintangan insulin ialah keadaan di mana fungsi tadi tidak dapat dijalankan dengan baik.

Jadinya, lebih banyak glukosa akan berada di dalam darah ibu.

Seorang ibu hamil yang mempunyai GDM TIDAK mempunyai kencing manis sebelum kehamilan.

Dan GDM juga akan ‘hilang’ sendiri selepas bayi dilahirkan.

Tetapi GDM akan meningkatkan risiko ibu tersebut untuk mempunyai kencing manis jenis 2 pada masa akan datang.

diabetes semasa hamil

.

Punca Diabetes Semasa Hamil

.

Punca sebenar terjadinya GDM tidak dapat dikenalpasti dengan tepat.

Namun, berkemungkinan besar adalah disebabkan oleh perubahan hormon dalam badan ibu semasa hamil.

Kerana secara fisiolognya, SEMUA ibu hamil akan menghasikan LEBIH banyak hormon yang akan meningkatkan kerintangan terhadap insulin.

Apabila kerintangan terhadap insulin lebih tinggi, gula dalam darah akan kurang dihantar kepada sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga.

Paras gula darah yang lebih tinggi ini akan dihantar kepada bayi melalui plasenta untuk kegunaan bayi dalam kandungan.

Ini cerita fisiologi semasa hamil ya.

Yang mana SEMUA ibu hamil mengalami perubahan ini untuk menyokong keperluan dan pertumbuhan bayi.

So, diabetes semasa hamil terjadi apabila paras gula darah menjadi LEBIH TINGGI daripada yang sepatutnya.

diabetes semasa hamil

.

Simptom-simptom GDM

.

Kebanyakan ibu hamil TIDAK mengalami apa-apa simptom pun.

Amat jarang sekali ibu hamil mengalami simptom-simptom kencing manis seperti terlalu dahaga, banyak kencing, keletihan dan lain-lain lagi.

Oleh kerana itu, ibu-ibu hamil yang berisiko disarankan menjalani maternal glucose tolerance test (MGTT) sebagai ujian saringan.

.

Siapakah Ibu Hamil Yang Berisiko Tinggi Mengalami GDM?

.

Faktor-faktor risiko GDM adalah seperti berikut:

  • BMI melebihi 27 (overweight dan obese)
  • Mempunyai sejarah GDM semasa kehamilan sebelumnya
  • Terdapat keluarga first-degree yang menghidap kencing manis (contoh: mak/ayah/adik-beradik ada kencing manis)
  • Sejarah bayi besar melebihi 4kg
  • Sejarah obstetrik yang tidak ‘cantik’ (contohnya ada sejarah 3 kali keguguran sebelum itu)
  • Glukosa dikesan dalam ujian air kencing
  • Masalah obstetrik semasa kehamilan sekarang (contoh : ibu hamil ada darah tinggi, air ketuban banyak, jangkitan yang kerap)

diabetes semasa hamil

Sekiranya ibu hamil mempunyai mana-mana fakor risiko di aras, mereka akan disarankan menjalani ujian MGTT.

MGTT dijalankan dengan mengambil darah ibu semasa berpuasa dan 2 jam selepas meminum air gula yang mengandungi 75 gram glukosa.

Keputusan ujian MGTT normal ialah dengan bacaan kurang daripada 5.1 (bagi darah berpuasa) dan kurang daripada 7.8 (bagi darah yang diambil 2 jam selepas meminum air gula).

.

Pelan Pemakanan Yang Baik Sangat Membantu Ibu GDM

.

Apabila ibu hamil disyaki mempunyai GDM, mereka akan dirujuk kepada pakar diet untuk kaunseling pemakanan.

Sebenarnya, pelan pemakanan untuk pesakit GDM adalah individualized.

Tetapi sebagai guideline, secara amnya, ibu hamil dengan GDM disarankan mengamalkan pemakanan seperti berikut :

  • diet seimbang dengan semua kumpulan makanan untuk memenuhi keperluan ibu hamil dan perkembangan bayi
  • yang terbaiknya amalkan pinggan suku suku separuh (Dalam entri Cara Turun Berat Badan Dengan Cepat dan Selamat ada diceritakan tentang pinggan suku suku separuh ini)
  • “makan untuk dua orang” bukan alasan ibu hamil makan dalam kuantiti yang banyak kerana hakikatnya, keperluan kalori ibu hamil cuma lebih 300 kalori sahaja berbanding ibu yang tidak hamil
  • amalkan pengambilan karbohidrat kompleks seperti bijirin, kekacang dan sayur-sayuran
  • dalam masa yang sama, elakkan karbohidrat ringkas seperti kek dan gula-gula
  • pilih makanan dengan indeks glisemik rendah supaya paras gula darah tidak naik mendadak sebaliknya lebih stabil untuk suatu jangka masa (Baca lebih lanjut tentang indeks glisemik di dalam entri Tips Penjagaan Makanan Untuk Kurus)
  • pilihlah makanan yang kaya dengan serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran
  • makanan rendah lemak adalah lebih baik
  • elakkan makanan bergoreng

tanda-tanda kencing manis

Makanan dengan indeks glisemik tinggi (graf biru) menyebabkan paras gula darah meningkat secara mendadak, kemudiannya menurun secara mendadak juga (dua-dua pun tidak baik untuk ibu GDM). Sebaliknya makanan indeks glisemik rendah (graf hijau) pula menstabilkan paras gula darah untuk jangka masa yang lebih lama.

Berdasarkan kajian, pelan pemakanan yang diikuti dengan baik oleh ibu hamil berupaya membantu mengawal paras gula darah dengan baik.

Jadi, ibu hamil yang GDM jangan ambil ringan tentang pemakanan ya.

Demi anda dan bayi anda.

.

Ibu Hamil GDM Juga Digalakkan Untuk Bersenam!

.

Selain menjaga pemakanan dengan baik, ibu yang GDM juga digalakkan untuk bersenam secara berkala.

Dengan senaman, dapat membantu mengurangkan kerintangan terhadap insulin tadi. Jadi kalau kerintangan insulin berkurang, akan kurang juga gula dalam darah.

Ibu-ibu GDM boleh mula bersenam selama 15 minit, sebanyak 3 kali seminggu.

Seterusnya jika berkemampuan, anda bolehlah tingkatkan tempoh dan kekerapan bersenam.

Senaman bagaimana yang sesuai?

Boleh rujuk entri 5 Senaman Yang Selamat Untuk Ibu Hamil untuk info lanjut.

Pastikan anda meminum air kosong yang cukup sebelum, semasa dan selepas bersenam.

Bagi ibu hamil yang mengalami masalah berikut semasa bersenam pula, dinasihatkan berhenti bersenam dan dapatkan nasihat doktor dengan segera :

  • sakit di mana-mana bahagian terutamanya perut, belakang dan/atau pelvis
  • pening dan sakit kepala yang melampau
  • sesak nafas
  • rasa seperti akan pitam
  • jantung berdebar-debar
  • pendarahan faraj

diabetes semasa hamil

.

Bagaimana Dengan Komplikasi Jika Paras Gula Darah Tidak Dikawal Dengan Baik?

.

Paras gula darah yang tidak dikawal dengan baik membawa risiko besar bukan sahaja terhadap diri anda, tetapi juga terhadap bayi di dalam kandungan.

Komplikasi Terhadap IBU

  • meningkatkan risiko jangkitan seperti jangkitan salur kencing dan jangkitan kulat
  • risiko preeklampsia lebih tinggi (risiko sawan)
  • berdasarkan National Health Institute (NIH), sebanyak 20-50% ibu GDM berisiko menghidap kencing manis jenis 2 dalam 5 hingga 10 tahun (banyak tu 20-50%!)
  • polyhydramnion (air ketuban lebih banyak dari normal)
  • kelahiran pramatang

Komplikasi Terhadap BAYI

  • bayi besar (macrosomia = berat lahir 4kg dan ke atas) kerana ‘lambakan’ gula yang masuk melalui plasenta menghasilkan lebih banyak tenaga dan gula ini akan disimpan sebagai lemak
  • macrosomic baby pula seterusnya lebih berisiko mengalami kesukaran untuk dilahirkan kerana saiznya (shoulder dystocia) lalu meningkatkan risiko kelahiran secara pembedahan (Cesarean section)
  • lebih berrisiko mengalami masalah kurang gula (hypoglycemia) selepas dilahirkan kerana pankreas bayi menghasilkan lebih banyak insulin (kerana paras gula darahnya juga tinggi)
  • berisiko menjadi obese dan menghidap kencing manis jenis 2 apabila besar nanti
  • kecacatan kongenital
  • masalah paru-paru
  • darah pekat (polycythemia)
  • kematian sebelum dilahirkan

diabetes semasa hamil

.

Saranan Untuk Ibu Yang Ada Diabetes Semasa Hamil

.

  1. Ikuti lawatan susulan ke klinik seperti yang telah ditetapkan
  2. Amalkan pemakanan seimbang
  3. Rajin bersenam jika tiada kontraindikasi
  4. Kira gerakan bayi anda seperti yang diarahkan
  5. Ambil ubat kencing manis atau/dan insulin seperti yang dinasihatkan
  6. Monitor paras gula darah
  7. MGTT 6 hingga 12 minggu selepas bersalin untuk memastikan anda tidak menghidap kencing manis jenis 2
  8. Sekiranya didapati anda menghidap kencing manis jenis 2, dapatkan kaunseling sebelum merancang untuk anak seterusnya

.

Sumber:

  1. MyHealth KKM
  2. Healthline

Tercari-cari vitamin mengandung untuk menyokong nutrisi anda dan bayi anda?