Hari ni saya tengok cermin muka saya senget sebelah macam ni. Saya kena strok ke ni?

“Kawan ofis tiba2 tegur muka saya macam nampak pelik, macam ‘jatuh’ sebelah. Tu yang saya datang ni.”

Dalam 2 hari, datang 3 patients dengan Bell’s Palsy. Orang kita panggil ‘strok muka’.

.

Apa Itu Bell’s Palsy?

.apa itu bell's palsy

Dari segi perubatan, ringkasnya, Bell’s Palsy ialah keadaan di mana secara tiba-tiba sahaja sebelah otot muka menjadi lemah kerana berlakunya kecederaan pada salah satu saraf yang mengawal otot muka.

Kebanyakan puncanya adalah tidak diketahui. Boleh jadi disebabkan jangkitan virus atau pesakit mempunyai kencing manis.

Beza Bell’s Palsy dengan strok ialah, otot yang lemah hanya di bahagian sebelah muka. Kaki tangan semua ok macam biasa.

Jadi bila otot sebelah muka ni lemah (tak boleh atau kurang boleh bergerak), pesakit biasanya datang dengan keadaan :

  • tak boleh tutup sebelah mata dengan sempurna
  • jadi, mata jadi kering atau terlalu berair
  • sudut mulut ‘jatuh’
  • tak boleh senyum dengan baik
  • percakapan pun boleh terganggu (slurred speech)

apa itu bell's palsy

Bell’s Palsy

Pesakit yang awal datang mendapatkan rawatan, kebanyakannya sembuh lebih cepat. Rawatan yang diperlukan ialah:

  • steroid untuk kurangkan radang dan bengkak saraf muka
  • ubat titis mata untuk mengelakkan mata kering dan jangkitan (sebab tak boleh tutup mata elok2 kan)
  • pesakit juga disarankan menggunakan penutup mata
  • vitamin saraf

Jangan bimbang kerana Bell’s Palsy hanya berlaku sementara sahaja dan akan sembuh dengan sendirinya.

apa itu bell's palsy

.

Apa Yang Anda Boleh Lakukan Dalam 6 Minggu Pertama?

.

Berdasarkan maklumat dari NHS, apa yang pesakit Bell’s Palsy boleh lakukan dalam 6 minggu pertama adalah seperti berikut:

  1. Mengurut bahagian muka yang terlibat (rujuk seterusnya)
  2. Menyokong pipi sebelah yang terlibat dengan tangan semasa bercakap untuk manjadikan bunyi B dan P lebih jelas.
  3. Mengambil berat kebersihan mulut di sebelah yang terlibat. Periksa sama ada terdapat makanan yang tersangkut, air liur yang bertakung dan sebagainya. Anda mungkin perlukan pencuci mulut.
  4. Cuba untuk tidak banyak bergerak bagi sebelah yang tidak terlibat.
  5. Anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk minum menggunakan straw. Tekan bibir bahagian yang terlibat untuk ‘seal’ straw sebaiknya.
  6. Mendapat rehat yang cukup terutamanya jika anda letih.
  7. Jika mata tidak boleh ditutup dengan baik, anda perlukan eyedrop, penutup mata, dan cermin mata gelap (kalau matahari terlalu cerah) untuk mengelakkan masalah mata. Kalau perlu, berjumpalah dengan doktor.
  8. Bergaul dan berkomunikasi seperti biasa. Anda juga boleh berkongsi tentang Bell’s Palsy (ianya boleh dialami oleh sesiapa sahaja secara tiba-tiba).

.

Senaman Muka Untuk Bell’s Palsy

.

Berikut pula ialah senaman muka yang boleh diakukan oleh pesakit. Disarankan melakukan sebanyak 5 kali bagi setiap senaman, dan 2 kali sehari.

  • Urut pipi ke atas ke arah telinga, dan dari kening ke atas ke gigi rambut.
  • Angkat kening ke atas dengan bantuan jari anda sebanyak 3 kali. Cuba tahan selepas angkat kali ketiga.
  • Senaman kerutkan dahi, juga dengan bantuan jari juga.
  • Buka dan tutup mata dengan bantuan jari-jari anda.
  • Tutup mulut rapat-rapat dengan bantuan jari anda, kemudian cuba tiup secara simetri yang mampu.
  • Bunyikan “eee” dengan bantuan jari-jari anda.
  • Dengan menggunakan dua jari, tolakkan hujung mulut anda seolah-olah sedang senyum.