Pertama kali dengar perkataan ‘resdung’, sebagai seorang doktor kadang kala jadi confused juga memikirkan “apa itu resdung”? Sebab semasa bergelar student medical, apa yang pernah didengari ialah sinusitis dan allergic rhinitis.

Jadi, apabila pesakit datang ke klinik mengatakan mereka mengalami resdung, apa yang boleh dibuat iaah mendapatkan sejarah yang betul tentang simptom yang ada.

.

# SINUSITIS #

.

Sebelum pergi lebih lanjut tentang sinusitis, mari kita kenali dulu apa itu sinus.

Cuba perhatikan gambar di bawah.

.

apa itu resdung

.

Sinus ialah satu sistem yang menghubungkan rongga-rongga udara di dalam tengkorak kepala kita.

Terdapat beberapa sinus pelbagai saiz di muka kita. Yang terbesar terletak dalam tulang pipi, dikenali sebagai sinus maxillary dan bersaiz kira-kira seinci lebarnya. Sinus-sinus lain terletak di atas kedua kening, di antara kedua mata dan di belakang hidung kita.

Secara semulajadinya, ruang sinus ini adalah kosong tidak mengandungi apa-apa kecuali satu lapisan mukosa nipis. Kebanyakan sinus berhubung dengan udara luar melalui satu bukaan kecil di dalam hidung.

Jadi, sinusitis ialah satu keadaan di mana terjadinya keradangan dan pembengkakan di dalam sinus, mengakibatkan sinus tersumbat dengan cecair. Ini seterusnya menyebabkan pembiakan kuman dan berlakunya jangkitan.

Perkara-perkara berikut antara faktor yang menyebabkan sinus tersumbat:

  • cuaca sejuk
  • allergic rhinitis (akan diceritakan kemudian)
  • ketumbuhan di dalam hidung seperti polyps
  • deviated septum (septum ialah dinding yang memisahkan hidung sebelah kiri dan kanan)

.

apa itu resdung

Deviated Septum

.

Mereka yang menghadapi sinusitis boleh mengalami tanda-tanda di bawah:

  • selesema
  • batuk
  • hidung tersumbat
  • hilang deria bau
  • hingus pekat kekuningan atau kehijauan dan boleh jadi berbau
  • sakit kepala yang kuat di bahagian rongga-rongga sinus tadi
  • demam
  • nafas berbau

.

Rawatan untuk sinusitis ialah antibiotik (jika disebabkan jangkitan), decongestant dan ubat simptomatik lain (demam, batuk, selesema, sakit kepala). Untuk kes yang lebih serius, pesakit mungkin memerlukan ubat semburan hidung steroid.

.

# ALLERGIC RHINITIS #

.

apa itu resdung

Keratan rentas hidung membandingkan keadaaan hidung normal dan peskit allergic rhinitis.

.

Allergic rhinitis pula ialah keradangan lapisan mukosa dalam hidung yang terjadi hasil tindakbalas badan apabila terdedah dengan alergen (penyebab alahan). Keradangan yang berlaku menyebabkan pembengkakan dan terhasilnya cecair yang menyumbatkan hidung (allergic rhinitis adalah salah satu faktor penyebab sinusitis).

Simptom-simptomnya termasuklah hidung berair (biasanya tanpa warna) atau tersumbat, bersin-bersin, gatal mata dan berair,

Pesakit memerlukan ubat antihistamin (alahan), dan ubat simptomatik lain. Dan untuk kes yang lebih serius memerlukan ubat semburan hidung steroid.

Langkah terbaik untuk pesakit ialah mengelak daripada terdedah kepada perkara yang boleh menyebabkan tindakbalas alahan ini. Contohnya habuk dan debu, asap rokok, bulu binatang peliharaan dan lain-lain.

Kesimpulannya, amatlah penting untuk mengenalpasti ‘resdung’ yang diberitahu oleh pesakit. Kerana rawatannya yang berbeza.