apa itu virus corona covid19

Sejak pertama kali dikesan di wilayah Wuhan, China pada hujung tahun 2019, jangkitan coronavirus telah mengakibatkan satu dunia gelabah! Jom kita lihat apa itu virus COVID19 yang anda perlu tahu.

.

Apa Itu Virus COVID19?

.

1# COVID-19 Ialah Virus Corona Jenis (Strain) Baru Yang Tidak Pernah Dijumpai Menjangkiti Manusia Sebelum Ini

Pada 31 Dec 2019, World Health Organization (WHO) telah menerima laporan dari China tentang penyakit seperti jangkitan paru-paru (pneumonia-liked) yang dikesan di Wuhan. Bukan pneumonia biasa-biasa tetapi mengakibatkan kegagalan sistem respiratori dengan cepat dan ianya amat pantas merebak dan menyebabkan kematian!

Kajian makmal dijalankan, mendapati ianya berpunca dari virus corona jenis baru yang tidak pernah dijumpai menjangkiti manusia sebelum ini. Asalnya virus corona hanya boleh dijangkiti oleh haiwan kepada haiwan lain (zoonotic transmission). Tetapi mutasi genetik dipercayai telah berlaku membolehkan virus ini berupaya menjangkiti manusia (Wallahuálam).

Pesakit yang dijangkiti boleh mempunyai gejala respiratori ringan sahaja atau teruk sehingga kematian. Antaranya demam panas melebihi 38 darjah Celcius, batuk dan sesak nafas. Gejala boleh bermula kira-kira 14 hari dari masa dijangkiti (incubation period of 14 days).

.

2# Diisytiharkan Sebagai Public Health Emergency of International Concern

Dalam masa sebulan sahaja, iaitu pada 30 Januari 2020, WHO telah mengisytiharkan jangkitan virus corona sebagai Public Health Emergency of International Concern, bila mana virus ini mula menular ke kebanyakan negara lain selain China – 5 kawasan (regions) di bawah WHO telah terkesan dalam masa sebulan ini!

Suratan atau kebetulan, hujung bulan Januari 2020 itu pula merupakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina (Chinese New Year). Ketika itulah terdapat pergerakan keluar masuk manusia dari dan ke China yang tinggi. Yang masuk ke daerah Wuhan atau negara China mula dijangkiti, yang keluar dari situ pula menjadi pembawa virus ke tempat lain.

.

apa itu virus corona covid19

Apa itu virus COVID19? Daripada wabak di Wuhan, dalam masa yang singkat telah diisytiharkan sebagai pandemik apabila dijangkiti hampir seluruh dunia!

3# Diisytiharkan Sebagai Pandemic

Penyebaran virus corona COVID-19 adalah sangat pantas dan efektif. Pada 7 Mac 2020, sebanyak 100,000 kes dilaporkan di 100 buah negara (dalam tempoh 2 bulan lebih sahaja)!

Pada 11 Mac 2020, WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik.

Tahap penularan sesuatu penyakit atau wabak, boleh dikategorikan kepada endemik, epidemik dan pandemik. Apakah perbezaan ketiga-tiganya?

  • Endemik ialah penyakit yang sentiasa wujud di dalam sesuatu kawasan atau masyarakat. Dengan kata lain, sepanjang tahun pun boleh ada penyakit ni tapi pada kadar yang rendah dan stabil. Contohnya denggi, sepanjang tahun pun boleh ada kes pesakit dengan denggi.
  • Epidemik ialah apabila sesuatu penyakit meningkat lebih dari biasa, merebak ke kawasan sekitar dan boleh dilihat dengan jelas dalam sesuatu komuniti. Penyakit epidemik juga dikenali sebagai ‘wabak’. Contohnya COVID-19 ni, sebelum menjadi pandemik, ianya ialah epidemik di China.
  • Pandemik ialah apabila penyakit itu menular dengan lebih meluas lagi melibatkan seluruh dunia! Contohnya COVID-19 yang sekarang ini lah, dah melibatkan beratus-ratus negara, kes pun dah melebihi ratusan ribu!

.

Bila telah diisytiharkan sebagai PANDEMIK, bermakna jangkitan COVID-19 ialah suatu penyakit berjangkit yang sangat serius dan memerlukan perhatian seluruh lapisan masyarakat dari seluruh dunia!

.

4# Cara Jangkitan dan Merebak

Bagaimana seseorang boleh berjangkit dan dengan mudahnya menular kepada orang lain?

Seseorang dengan mudahnya boleh dijangkiti virus corona jika terdedah kepada droplet yang mengandungi virus dari pesakit secara langsung dan tidak langsung:

  • batuk dan bersin dari pesakit
  • kontak fizikal dengan pesakit
  • kontak dengan permukaan atau objek yang tercemar dengan droplet dari pesakit

Daripada kajian yang dijalankan, seorang pesakit yang telah dijangkiti mampu menjangkiti 3 orang yang lain. 3 orang ini pula boleh menjangkiti 9 orang dan seterusnya. Tidak hairanlah dengan begitu cepat sekali COVID-19 tersebar ke seluruh negara China dan luar China.

Kajian lanjutan mendapati, virus yang terdapat dalam droplet dari pesakit yang batuk atau bersin, boleh berada di dalam udara beberapa ketika sahaja dan akan jatuh ke permukaan objek pada jarak 1 meter (zarah virus ini berat molekulnya). Sebab itulah salah satu kaedah pencegahan penularan penyakit ini ialah penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.

 

 

.

5# Cara Mencegah Jangkitan COVID-19

Bila dah tahu apa itu virus COVID19, cara jangkitan dan penularannya, bolehlah kita cuba mencegah daripada dijangkiti dan penularannya dengan cara-cara berikut:

  • Menutup hidung dan mulut ketika batuk dan/atau bersin. Buang tisu terus setelah digunakan dan cuci tangan dengan bersih. Baca juga entri Siapa Perlu dan Jenis Topeng Muka Yang Sesuai.
  • Kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, atau menggunakan sanitizer jika tiada air dan sabun. Baca juga entri berkaitan: 7 Langkah Mencuci Tangan Dengan Betul.
  • Pesakit yang bergejala memakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain, serta mengamalkan etika batuk yang betul. (Baca juga, Siapa Perlu Pakai Topeng Muka)
  • Elakkan perhimpunan yang melibatkan jumlah yang besar
  • Penjarakan sosial (Social Distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain semasa berada di luar rumah. Kita tidak tahu siapa yang telah dijangkiti atau siapa pembawa virus ini.
  • Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut dengan kerap.
  • Isolasi sekurang-kurangnya 14 hari sekiranya anda baru pulang dari negara atau tempat yang diserang wabak ini atau dari kontak dengan pesakit yang diketahui positif
  • Segera ke hospital untuk screening sekiranya bergejala atau anda merupakan kontak rapat kepada pesakit yang telah disahkan positif
  • Jangan menipu staf kesihatan jika anda bergejala, merupakan kontak rapat (close contact) pesakit positif COVID-19 atau baru pulang dari luar negara.

.

tempoh masa covid19 hidup

.

6# Rawatan COVID-19

Sehingga kini, masih tiada vaksin spesifik untuk mencegah jangkitan virus corona. Rawatan yang diberi pula hanyalah rawatan sokongan (supportive management).

.

7# “Saya sihat je. Bolehlah saya keluar berjalan-jalan dan tak perlu buat langkah pencegahan di atas.

Ada juga pesakit yang telah dijangkiti tetapi tidak menunjukkan apa-apa simptom. Tapi awas, anda boleh menjangkiti orang lain tanpa anda sedar sekiranya langkah pencegahan penularan tidak diikuti.

Berikut adalah golongan berisiko tinggi yang mudah dijangkiti dan mengalami komplikasi:

  • Warga emas (berusia 60 tahun dan ke atas)
  • Bayi dan kanak-kanak
  • Ibu mengandung
  • Mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser

.

Penyakit COVID-19 merupakan masalah kesihatan awam. Semua orang bertanggungjawab untuk banteras. Jalankan peranan masing-masing, saling bantu-membantu, barulah kita akan berjaya putuskan rantaian penularan COVID-19. Negara Italy ialah salah satu negara yang patut kita jadikan teladan agar penularan yang lebih teruk dapat kita elakkan.

Kasihanilah warga KKM yang telah berhempas pulas dan berkorban segalanya sebagai ‘tentera pertahanan’ atau ‘fronliners‘ negara kita. Meningkatnya bilangan pesakit COVID-19, tak mustahil frontliners kita boleh tumbang.