Pada 23 Februari 2019 baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kematian kanak-kanak berusia 2 tahun di Johor akibat dijangkiti penyakit difteria. Kes difteria pertama bagi tahun 2019 ini kemudiannya diikuti oleh jangkitan terhadap 4 kanak-kanak lain yang tinggal dan dihantar di taska yang sama dengan kanak-kanak pertama tadi.

penyakit difteria

.

APA ITU PENYAKIT DIFTERIA?

.

Penyakit difteria (diphtheria) ialah jangkitan akut sistem pernafasan atas yang sangat mudah berjangkit terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Kebanyakan pesakit ialah kanak-kanak di bawah 15 tahun terutamanya yang tidak diberi vaksin difteria. Namun, boleh juga menjangkiti orang dewasa.

.

Penyebab & Bahaya Difteria

Punca penyakit difteria ialah bakteria Corynebacterium diphtheriae yang menjangkiti tekak, kemudian membebaskan toksin, mengakibatkan keradangan dan penghasilan selaput di tekak. Toksin ini menyebabkan pembengkakan tekak lalu menyebabkan sesak nafas.

Ia juga dengan cepat boleh mengakibatkan komplikasi apabila memasuki saluran darah dan menjangkiti sistem saraf dan jantung. Komplikasi difteria yang paling ditakuti ialah kematian yang kebanyakannya melibatkan kanak-kanak yang tidak menerima vaksin dan mereka yang lemah sistem imun badan.

Difteria boleh dijangkiti daripada pesakit melalui cecair badan apabila pesakit batuk atau melalui sentuhan.

.

Tanda-tanda Penyakit Difteria

Kanak-kanak yang dijangkiti akan mula mengalami demam panas, sakit tekak, suara serak, sakit kepala dan batuk.

Bagi kes yang lebih serius, pesakit juga boleh mengalami sesak nafas dan sakit dada.

Melalui pemeriksaan fizikal, adalah tipikal bagi pesakit mempunyai selaput putih kelabu yang tebal di bahagian tekak seperti dalam gambar di bawah.

penyakit difteria

.

Rawatan Bagi Difteria

Pesakit yang disyaki dijangkiti difteria akan dimasukkan ke hospital untuk segera diberi antitoxoid sebaik selepas spesimen untuk ujian bakteria diambil.

Antibiotik TIDAK BOLEH menggantikan antitoxoid. Namun juga akan dipertimbangkan selepas pengambilan sampel untuk ujian kultur.

.

Cara Pencegahan

Satu-satunya cara pencegahan dari penyakit difteria yang membahayakan dan boleh membawa maut ini ialah melalui suntikan vaksin.

Imunisasi terhadap difteria boleh diperoleh dari mana-mana klinik kerajaan dan swasta, dan disuntik pada usia bayi 2 bulan, 3 bulan, 5 bulan dan 18 bulan.

Sejarah telah pun membuktikan, pengenalan vaksin berjaya menurunkan kes difteria di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Namun, gerakan antivaksin yang semakin parah dan membimbangkan telah menyebabkan peningkatan kes penyakit-penyakit yang boleh dicegah vaksin termasuk difteria. Ini terbukti berdasarkan kenyataan berikut.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, gerakan penolakan pemberian vaksin oleh ibu bapa telah meningkat daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1603 kes pada tahun 2016.

Dan dalam masa yang sama juga, terdapat peningkatan mendadak kes penyakit-penyakit yang boleh dicegah vaksin contohnya demam campak (measles) daripada 195 kes pada tahun 2013 kepada 1934 kes pada tahun 2018. Selain itu, pada tahun 2018, dilaporkan 6 kematian disebabkan demam campak (semuanya tidak divaksin), 5 kematian disebabkan difteria (4 kematian adalah tidak divaksin), 22 kematian akibat batul kokol (19 tidak divaksin).

Tidakkah begitu jelas sekali perkaitan antara vaksin dan jumlah kes/kematian penyakt-penyakit yang boleh dicegah vaksin ini?

.

Kesimpulannya, bagi anda yang mempunyai anak kecil yang masih belum divaksin atau keciciran vaksin, segeralah ke klinik berhampiran untuk mendapatkan suntikan.

Dapatkan maklumat yang betul daripada saluran yang boleh dipercayai demi kepentingan kanak-kanak, pelapis negara di masa hadapan.