Risaunya kalau secara tiba-tiba tak ada angin tak ada ribut, bayi muntah susu kan? Masa tu mulalah macam-macam bermain di fikiran. Lebih membimbangkan lagi acap kali kedengaran berita bayi meninggal kerana tersedak susu!
Untuk pengetahuan, bayi yang muntah susu boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Ketahui dahulu mana satu punca bayi anda muntah susu, kemudian barulah boleh menentukan langkah menghadapi. Mari kita tengok apa puncanya satu persatu.
.
5 Punca Bayi Muntah Susu
.
1# Overfeeding
.
Asal bayi menangis je terus diberi susu, asal merengek sikit je bagi menyusu. Padahal hakikatnya, banyak lagi punca lain bayi merengek dan menangis (Rujuk entri Kenapa Bayi Menangis).
Tahukah anda, perut bayi yang baru lahir, kecil sahaja lebih kurang sebesar buah ceri? Kalau terlalu kerap diberikan susu, mestilah perut kecil itu tidak dapat menampung. Maka akan terjadilah ‘muntah susu’ yang dibimbangkan itu.
Gambar di bawah ini menunjukkan saiz perut bayi mengikut usia.
.
Macam mana nak tahu bayi muntah susu disebabkan overfeeding ni?
Bayi yang terlebih diberi susu biasanya kelihatan sihat dan aktif seperti biasa. Perut pun tak kembung. Kencing berak pun orait macam biasa. Dan berat badan pun naik dengan cantiknya.
Tapi sekiranya anda bimbang, segeralah bawa bayi anda berjumpa doktor ya. Tidak semua bayi yang muntah susu disebabkan overfeeding.
.
2# Jangkitan
.
Paling kerap diadu oleh ibu bapa yang mempunyai bayi yang sedang batuk.
Salah satu punca batuk ialah jangkitan virus atau kuman. Apabia batuk, kehadiran kahak di salur pernafasan akan merangsang ‘gag reflex‘.
Untuk memahami apa itu ‘gag reflex‘, sama seperti anda memasukkan jari ke dalam tekak dan secara automatik anda akan ‘uwek!!!’ (nak termuntah).
Untuk mengenalpasti punca bayi muntah susu disebabkan jangkitan, bayi kebiasaannya juga akan mengalami simptom-simptom lain. Contohnya, cirit-birit, hilang selera makan, sakit perut, demam dan sebagainya.
Selain batuk, antara jangkitan lain yang boleh menyebabkan bayi muntah ialah jangkitan air kencing, otak dan telinga. Jadi, segeralah bawa bayi anda untuk pemeriksaan dan rawatan.
.
3# Menangis Berlebihan
.
Sama seperti mekanisma muntah yang disebabkan oleh batuk, bayi yang menangis berlebihan juga boleh merangsang tekak untuk muntah.
.
.
4# Motion Sickness
.
Naik kapal terbang, berada dalam kenderaan di jalan raya yang bengkang bengkok juga boleh jadi penyebab bayi muntah secara tiba-tiba kan?
Bukan bayi sahaja, mak pak budak pun boleh muntah kalau jenis tak tahan dengan perjalanan sebegitu. Hehe.
.
5# Usus Tersumbat
.
Huih, dengar usus tersumbat pun dah rasa mengerikan kan?
Ya. Ianya merupakan kes kecemasan!
Masalah usus tersumbat boleh terjadi pada sesiapa sahaja termasuk bayi, pada bila-bila masa, tanpa sebab yang jelas.
Usus boleh tersumbat melalui beberapa cara:
- intussusception : sebahagian usus terlipat masuk ke dalam sebahagian lain di sebelahnya seperti dalam gambar di bawah
- malrotation : usus berpusing-pusing sehingga tersumbat
- penyakit Hirshsprung : pergerakan otot usus yang lemah
.
Yang membahayakan, apabila usus tersumbat boleh mengakibatkan kekurangan nutrisi, dehidrasi dan masalah yang lebih serius!
Oleh itu, sekiranya bayi anda mengalami muntah susu (atau makanan/minuman lain), menangis tak henti-henti yang tidak boleh dipujuk, nampak lemah, perubahan najis dan tanda-tanda bahaya lain, segeralah bawa bayi ke hospital berhampiran.
.
.
Kesimpulannya, bayi boleh muntah susu disebabkan pelbagai faktor samada normal atau membahayakan. Kenali tanda-tanda bahaya dan jika ibu bapa bimbang, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan. Better berjaga-jaga daripada menyesal di kemudian hari kan?