Pesakit yang terpaksa bergantung kepada steroid pastinya anda bimbang memikirkan kesan sampingan steroid yang pelbagai. Nak ditinggalkan tak boleh. Nak diteruskan, terpaksa menelan bulat-bulat kesan yang bakal menimpa.
Apa Itu Steroid?
Steroid ialah singkatan kepada corticosteroid, merupakan ubat sintetik yang menyerupai hormon semulajadi cortisol di dalam badan. Ia bertindak dengan mengurangkan keradangan (anti-inflammatory) dan menurunkan paras imuniti badan. Oleh itu, digunakan untuk merawat pelbagai masalah keradangan dan penyakit-penyakit tertentu.
Terdapat pesakit memerlukan steroid untuk jangka masa panjang. Contohnya, untuk melambatkan kerosakan buah pinggang oleh penyakit autoimun. Pesakit ini acap kali akan mengalami kesan sampingan yang pelbagai.
Ada juga kes-kes yang memerlukan steroid untuk jangka masa pendek seperti serangan asma, yang mana sangat jarang sekali mendatangkan kesan sampingan.
Contoh ubat steroid ialah prednisolone, cortisone, triamcinolone dan methylprednisolone. Ubat ini berbeza dengan steroid anabolik, yang diambil oleh atlit bina badan.
Kerana tindakan steroid yang cepat dan dirasakan ‘berkesan‘ oleh sesetengah orang, ada juga pihak yang menyalahgunakan steroid untuk keuntungan sendiri.
Lambakan suplemen yang ditambah steroid dengan dos keterlaluan begitu membimbangkan. Yang berdaftar dengan KKM pun ada, apakan lagi yang tidak berdaftar!
Meh kita tengok kesan sampingan steroid yang macam-macam itu.
Kesan Sampingan Steroid
Dari segi perubatan, kesan sampingan steroid lebih mudah untuk diingat dengan menggunakan mnemonic CUSHINGOID:
C – cataract (selaput mata), glaukoma (tekanan dalam mata tinggi)
U – ulcer (gastrik perut,, ulser)
S – skin canges : striae, thinning (kulit memipis), bruising (mudah lebam), jerawat
H – hypertension (darah tinggi), hirsutism (pertumbuhan rambut di tempat yang tidak sepatutnya, contoh, wanita ada janggut)
I – infection (virus, bakteria, kulat)
N – necrosis (kematian sel)
G – glycosuria (kehadiran gula dalam air kencing)
O – obesity
I – immunosuppressant (membantutkan sistem imun)
D – diabetes (berisiko untuk kencing manis)
Kesan-kesan lain pula termasuklah gangguan tidur, osteoporosis, emosi tak stabil (mood swing), bengkak seluruh badan. Bengkak muka dipanggil moon face, bengkak tangan dan kaki dan lain-lain.
Pesakit yang mengambil steroid secara oral, dengan dos yang tinggi, untuk jangka masa yang lama paling berisiko untuk kesan-kesan sampingan steroid di atas.
Untuk steroid yag diberi secara suntikan atau sapu (contoh : krim), kesan sampingan masih boleh didapati tetapi risikonya adalah kurang.
Krim steroid yang digunakan untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan risiko jangkitan kulat dan kulit menjadi nipis.
Ada juga kes-kes yang menjadi ‘resistant‘ dengan steroid.
Bermakna, kalau sebelum itu steroid mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi, tetapi apabila ‘resistant‘ dos steroid yang tinggi pun tidak mendatangkan apa-apa kesan.
Cara Pencegahan Kesan Sampingan Steroid
Kebiasaannya steroid akan dipreskripsi untuk keadaan tertentu sahaja. Contonya nephrotic syndrome, masalah autoimun semasa fasa akut dan lain-lain.
Untuk pesakit yang memerlukan steroid untuk jangka masa panjang, doktor yang merawat ada kalanya akan memperskripsi ubat-ubat untuk mencegah komplikasi-komplikasi di atas. Bergantung kepada keadaan pesakit masing-masing. Contohnya:
- ubat anti asid untuk melindungi perut daripada mengalami gastrik/ulser perut
- tablet kalsium untuk melambatkan osteoporosis
- vitamin C untuk menguatkan sistem imun
Pesakit ini juga memerlukan rawatan susulan yang berterusan untuk memastikan kehadiran komplikasi darah tinggi, kencing manis dan kerosakan mata.
Menjadi pesakit yang terpaksa bergantung kepada steroid untuk jangka masa panjang adalah sesuatu cabaran yang besar. Kita yang masih sihat sejahtera, peliharalah kesihatan dengan baik.
Kerana kita akan paling menghargai sesuatu apabila kita hampir-hampir kehilangan. Termasuklah nikmat kesihatan.
Semoga bermanfaat. 🙂
.