cabut gigi susu

Cabut Gigi Susu – orang dulu-dulu kata goyang je gigi susu kena cabut cepat-cepat. Betul ke?

Umi, gigi saya dah longgar!” kata Humaira semalam, excited gigi pertama dah goyang.

Ni semua pengaruh dari cerita kartun Upin Ipin. Seronok pula dia gigi dah goyang. Tapi bagus juga adanya episod pasal gigi susu goyang dan tercabut tu, Tak la budak-budak ni rasa takut sangat bila gigi dah mula goyang. Kikikikiki….

‘Hilang’ gigi susu sebenarnya salah satu perkembangan besar yang penting dalam hidup anak-anak. Proses gigi susu goyang dan tercabut ini adalah untuk memberi laluan kepada gigi kekal untuk tumbuh. Ini akan berlaku secara berterusan sehingga kesemua gigi susu telah berganti dengan gigi kekal (yang terakhir semestinya gigi geraham).

Secara purata, gigi susu mula keluar seawal usia bayi 6 bulan. Ada yang lebih awal, ada yang lebih lambat. Kesemua 20 batang gigi susu akan tumbuh sepenuhnya kira-kira pada usia kanak-kanak 3 tahun (of course ada yang lebih awal atau lebih lambat).

Hakikatnya, gigi susu yang pertama tumbuh akan menjadi gigi pertama yang akan goyang dan tercabut. Dan seterusnya sehingga gigi geraham yang terakhir tumbuh. Kebanyakan gigi susu anak-anak akan goyang buat pertama kalinya seawal usia 4 tahun, dan ada juga selewat usia 7 tahun.

Jadi, apa yang perlu dilakukan apabila anak-anak ‘mengadu’ gigi susu mereka telah goyang?

Adakah perlu kita cabut secepat mungkin untuk mendapatkan susunan gigi yang cantik?

Seingat Ain, sejak gigi Ain longgar masa kecik-kecik dulu, ada yang takutkan supaya cabut cepat-cepat. Kata mereka, kalau lambat cabut, gigi tumbuh senget atau bertindih, tak cantikla susunan gigi! Sejauh mana kebenarannya?

Mari kita fahami dahulu kenapa proses ini berlaku…

.

cabut gigi susu

Perlukah cabut gigi susu yang dah mula goyang? Secara semulajadinya, gigi kekal akan menggantikan gigi susu apabila sampai masanya.

.

Perbezaan Gigi Susu dan Gigi Kekal

.

Walaupun gigi susu akan tercabut dan digantikan dengan gigi kekal, gigi susu mempunyai fungsi yang amat penting dalam perkembangan bayi dan kanak-kanak.

Gigi susu membantu kanak-kanak mengunyah makanan dan untuk perkembangan percakapan mereka. Masalah gigi susu semasa kecil mungkin salah satu punca anak anda seorang picky eater (Baca entri Anak Picky Eater – Apa Tindakan Anda?).

Ia juga membantu pembentukan tulang rahang kanak-kanak dan memberi bentuk wajah yang normal.

Sebaik kanak-kanak berusia 4 tahun, rahang mereka akan mula terbentuk dan semakin membesar. Di kala ini, ruang antara gigi-gigi susu mereka akan mula merenggang untuk memberi ruang gigi kekal yang lebih besar untuk ‘tumbuh’.

Pada usia 6 hingga 7 tahun, akar gigi susu ini akan mula ‘regang’ dari gusi, kerana gigi kekal akan mula mengambil alih tempat itu. Ketika inilah gigi susu akan mula goyang dan lama-kelamaan akan tercabut dengan sendirinya.

Selain menyediakan ruang untuk gigi kekal, gigi susu juga penting sebagai ‘guide‘ untuk gigi kekal tumbuh. Gigi susu yang tercabut (contohnya disebabkan kemalangan) atau dicabut lebih awal boleh menyebabkan gigi-gigi lain mengambil tempatnya itu, mengakibatkan gigi kekal yang berada di bawah tidak dapat keluar dengan baik.

Kerana itulah, jika mahukan gigi anak-anak tersusun cantik, biarkan sahaja gigi susu yang telah goyang itu tercabut dengan sendirinya, kecuali untuk kes-kes yang akan diterangkan kemudian.

Perbezaan ketara lain gigi susu dan gigi kekal ialah, gigi susu adalah lebih putih warnanya.

.

cabut gigi susu

Gigi susu yang pertama tumbuh (gigi kacip bahagian bawah) ialah gigi pertama yang akan goyang dan tercabut, digantikan dengan gigi kekal.

.

Bila Perlu Bawa Anak-anak Berjumpa Doktor Gigi Atau Cabut Gigi Susu Tu?

.

Terdapat beberapa kes di mana anak-anak perlukan rawatan doktor gigi. Antaranya ;

  • gigi kekal telah mula kelihatan tetapi gigi susu masih tidak tercabut dengan sendiri (perlu cabut gigi susu ini untuk memberi laluan kepada gigi kekal)
  • terjadinya jangkitan dengan kesakitan dan bengkak gusi yang mengganggu kanak-kanak (sebagai contoh anak tidak mahu makan kerana sakit)
  • anak mula mengalami gigi susu goyang sebelum usia 4 tahun (juma doktor untuk kenalpasti masalah lain ada atau tidak)
  • masih tiada gigi susu yang goyang atau tercabut walaupun anak telah berusia lebih 7 tahun
  • jika gigi susu anak anda goyang atau patah kerana kemalangan

.

Di bawah ini pula antara perkara yang boleh dilakukan untuk menjaga kesihatan gigi anak anda :

  • memantau anak anda memberus gigi
  • gunakan ubat gigi berflorida
  • menggantikan berus gigi setiap 3-4 bulan (lebih awal jika berus ‘kembang’) untuk mengurangkan kehadiran kuman dan memberus gigi dengan sebaiknya
  • berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya 2 kali setahun (sekali dalam 6 bulan)
  • mengurangkan makanan manis yang menjadi punca kerosakan gigi

.

Jadi, selepas ini bila anak mula bagitahu gigi dah goyang, jangan cabut gigi susu itu. Untuk permulaan, kita cuma perlu monitor sahaja ya. Nak gigi anak cantik tersusun secara semulajadi kan? Hehe… =)

.

cabut gigi susu

Cabut gigi susu anak bila betul-betul perlu sahaja ya. Kalau dah jadi macam dalam gambar ni memang perlu berjumpa doktor gigi.

.

Sumber:

  1. eSchoolToday
  2. Baby Center