cara buka akaun sspn i

Sebagai simpanan pendidikan anak-anak, saya dan suami telah memilih untuk membuka akaun SSPN-i. Sebelum saya kongsikan cara buka akaun SSPN-i secara online, mari kita kenal dahulu dengan ringkas tentang SSPN-i.

SSPN-i ialah sejenis skim oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tujuan pendidikan tinggi, menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar” yang mana pendeposit melantik PTPTN untuk menguruskan deposit yang dimasukkan untuk pelaburan.

.

Keistimewaan SSPN-i

.

  1. Layak memohon pinjaman pendidikan. Bermula tahun 2012, seseorang yang ingin membuat pinjaman untuk pembiayaan pendidikan di Politeknik, IPTA atau IPTA diwajibkan mempunyai akaun SSPN-i dengan simpanan minimun seperti yang ditetapkan PTPTN.
  2. Mendapat pengecualian cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.
    • Pendapatan bersih di sini ialah baki setelah ditolak jumlah pengeluaran dalam tahun tersebut.
    • Suami isteri + Taksiran asing + Akaun SSPN-i asing — Tuntutan terhad RM8,000 seorang setahun.
    • Suami isteri + Taksiran bersama + Akaun SSPN-i asing — Tuntutan terhad RM8,000 setahun.
    • Pendeposit juga boleh jadi penjaga yang sah dari segi undang-undang.
    • Tidak layak untuk pendeposit yang menyimpan untuk diri sendiri.
  3. Pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas layak mendapat perlindungan takaful percuma. Klik untuk Info Lanjut.
  4. Satu keluarga yang layak akan diberikan Geran Sepadan sehingga RM10,000.
  5. Simpanan ini mendapat jaminan kerajaan.
  6. Kadar dividennya kompetetif dan dikecualikan dari cukai pendapatan.
  7. Mudah untuk menyimpan di cawangan PTPTN dan lebih 3000 cawangan ejen SSPN-i. Rujuk di sini untuk maklumat lanjut pelbagai cara untuk menyimpan di SSPN-i.

.

Ini pula perbezaan di antara SSPN-i dan SSPN-i Plus. Dalam entri ini hanya akan dikongsikan tentang cara buka akaun SSPN i sahaja.

.

Syarat-syarat Untuk Buka Akaun SSPN-i

.

  1. Pendeposit dan penerima manfaat ialah warganegara Malaysia. Contoh, ibu buka akaun untuk anak.
  2. Pendeposit boleh buka akaun untuk diri sendiri.
  3. Setiap pendeposit hanya boleh membuka satu akaun untuk setiap penerima manfaat yang sama. Contoh, kalau ada 4 orang anak, kena buka 4 akaun (1 akaun setiap seorang anak).
  4. Penerima manfaat berumur 1 hari sehingga sebelum mencapai 29 tahun.
  5. Penerima manfaat juga dalam masa yang sama boleh menjadi pendeposit akaun yang lain. Contoh mak A buka akaun untuk A sejak sekolah. Bila A berusia 25 tahun, A berkahwin dan mendapat anak. A pula membuka akaun untuk anaknya. A seorang penerima manfaat (dari ibunya), dalam masa yang sama juga seorang pendeposit (untuk anaknya).
  6. Pendeposit berbeza boleh membuka akaun untuk penerima manfaat yang sama. Contohnya, ibu dan ayah membuka akaun berbeza untuk anak yang sama. Tiada had akaun bagi penerima manfaat. Kalau datuk nenek nak bukakan akaun untuk anak yang sama tadi pun boleh.

 

Cara Buka Akaun SSPN i Secara Online

.

1. Layari laman web rasmi PTPTN, pilih “Simpanan” dan kemudian “SSPN-i

2. Tekan butang “Buka Akaun SSPN-i” dan pilih “Pembukaan Akaun“.

cara buka akaun sspn i

3. Masukkan maklumat-maklumat yang diwajibkan (bertanda *)

  • Pendeposit ialah anda yang ingin mendepositkan wang ke dalam akaun tersebut.
  • Penerima manfaat ialah anak anda atau diri anda sendiri.
  • Ada ruangan untuk maklumat waris terdekat juga.
  • Isikan dengan lengkap
  • Buat bayaran secara online
  • Untuk memudahkan anda di kemudian hari, masukkan kata laluan yang sama untuk semua akaun anak anda. Contohnya saya membuka 4 akaun untuk 4 orang anak saya, setiap kali saya memasukkan kata laluan yang sama.

.

cara buka akaun sspn i

.

4. Selesai pembayaran, anda akan menerima resit pembayaran. Semak email yang telah anda masukkan semasa mendaftar. Klik pada link yang diberikan di dalam email anda.

akaun sspn

Link di dalam email anda akan membawa anda ke laman ini. Klik “Pendaftaran Online E-SSPN-i” dan isikan maklumat yang diminta, kemudian klik “Simpan”.

.

5.Sekali lagi anda akan menerima email menyatakan yang anda telah berjaya membuka akaun E-SSPN-i dan bolehlah anda log masuk menggunakan nombor Mykad dan kata laluan yang telah anda pilih. Anda akan dibawa ke paparan seperti di bawah.

Ini ialah akaun SSPN-i yang telah saya buka untuk 4 orang anak saya. Di sinilah paling mudah untuk anda buat pengeluaran, pendaftaran direct debit, mendapatkan penyata hasil dan melakukan penambahan deposit ke mana-mana akaun anak anda.

.

Sumber : PTPTN – SSPN-i