Bedsores, nama lainnya ialah pressure sores, biasanya terjadi pada pesakit terlantar apabila tisu kulit ditekan di antara dua permukaan keras (yang mana salah satunya ialah tulang).
Keadaan ini mengganggu pengaliran darah di bahagian kulit tersebut, menyebabkan kulit mengalami keadaan seperti “serangan jantung” atau “stroke“. Tisu-tisu tersebut kemudiannya “tercedera” kerana kekurangan darah, lama kelamaan akan ‘mati’ dan berisiko dijangkiti kuman.
Jika dibiarkan berlanjutan tanpa rawatan, amat berisiko mengalami jangkitan darah (sepsis), komplikasi kerosakan organ-organ dalaman dan akhirnya kematian!
.
Pesakit Terlantar Paling Berisiko Mengalami Bedsore
.
Oleh kerana ‘culprit‘ utamanya ialah tekanan yang berpanjangan, pesakit yang terlantar adalah golongan yang paling berisiko.
Contohnya, pesakit yang tidak sedarkan diri atau tidak mampu bergerak sendiri seperti biasa selepas serangan stroke, pesakit kemalangan dengan ‘multiple trauma‘ (patah tulang kaki dan tangan), pesakit yang kronik di ICU dan banyak lagi.
.
Gejala-gejala
.
Tekanan ke atas tisu kulit yang berpanjangan, akan mengakibatkan pengaliran darah terganggu. Lalu akan terhasilnya gejala-gejala berikut:
- Perubahan warna kulit – kemerahan dan kebiruan
- Perubahan suhu kulit – suhu rendah (sejuk) menandakan gangguan pengaliran darah sudah berlaku, manakala suhu tinggi (panas) menandakan keradangan
- Perubahan konsistensi tisu kulit – keradangan menyebabkan bengkak, jadi konsistensi kulit menjadi lebih lembut
- Perubahan deria rasa apabila saraf ditekan – pesakit boleh merasa kebas dan menyucuk
- Terdapat ruam berisi cecair (blisters) atau luka terbuka dengan cecair (serous or pus if infected)
- Pembentukan ulser
.
Gejala-gejala ini boleh terjadi mengikut tahap bedsores yang boleh dibahagikan kepada 4, seperti dalam gambar di atas:
- Tahap 1 : apabila terdapat perubahan warna dan perubahan suhu kulit sahaja
- Tahap 2 : kehilangan lapisan dermis kulit membentuk ulser
- Tahap 3 : ulser lebih dalam tetapi struktur kulit yang lebih dalam seperti tendon dan tulang tidak kelihatan
- Tahap 4 : ulser yang dalam sehingga kelihatan tulang, tendon dan struktur bawah kulit yang lain
.
5 Langkah Mudah Cegah Bedsores
.
Walaupun komplikasi bedsores boleh membawa kepada kematian, berita baiknya ialah ianya boleh dicegah.
Langkah-langkah pencegahan berikut memerlukan usaha dan kerjasama dari ahli keluarga atau penjaga pesakit.
- Kerap mengubah posisi pesakit sekurang-kurangnya setiap 2 jam. Contohnya 2 jam pertama baring, 2 jam seterusnya mengiring ke kanan, 2 jam berikutnya mengiring ke kiri. Kalau boleh duduk tepi katil lebih baik juga.
- Melapik bahagian yang berisiko dengan kusyen lembut untuk mengurangkan tekanan. Antaranya menggunakan tilam khas untuk pesakit terlantar (Ripple mattress), meletakkan pelampung atau sarung tangan getah yang diisikan dengan air.
- Pemeriksaan kulit pesakit setiap hari adalah ‘wajib’ untuk pengesanan awal bedsores dan mencegah menjadi lebih teruk
- Menggunakan produk mandian yang sesuai terutamanya jika pesakit berkulit kering, selalu gatal dan berkulit sensitif.
- Pemakanan sihat dan seimbang untuk menyokong kesihatan, pembentukan otot dan pembaikan tisu-tisu rosak. Amalkan pemakanan suku-suku-separuh untuk nutrisi seimbang yang diperlukan badan.
.