kanser paru paru tahap 4

Ini ialah kisah benar ayahku yang meninggal dunia asbab kanser paru paru tahap 4. Segalanya berlaku terlalu cepat.

.

“Memang dah tak boleh buat apa-apa ke?”

Antara momen yang masih segar dalam kotak fikiranku ialah wajah ibuku ketika bertanyakan soalan ini. Perlahan getar suaranya. Matanya bulat, berkaca dek takungan air mata, memandang tepat ke dalam anak mataku menanti jawapan. Sambil tangannya menggenggam kemas lengan kananku menahan sebak.

Ya Allah, kalau selama aku bekerja di ICU suatu ketika dahulu, to break a bad news itu sudah menjadi rutinku apabila pesakit yang dirawat semakin tenat, tidak dapat diselamatkan atau ‘menunggu masa’ saja. Tak sangka sungguh kali ini aku terpaksa break the bad news to my very own family.

“Mak…”

Aku tarik nafasku sedalam-dalamnya. Berat sangat rasanya untuk membuka mulut menceritakan hal sebenar kepada seorang yang bernama ibu. Tetapi apakan daya, mak perlu tahu kebenarannya. Mak perlu tahu keadaan ayah. Mak perlu tahu kenapa kami adik-beradik bawa pulang ayah dari hospital seawal Subuh itu juga.

“Keadaan ayah dah tak elok, mak. Paru-paru kiri tu dah penuh dengan air, Dah buat tapping keluarkan 1.2 liter, tetapi repeat chest X-ray tak banyak beza, air penuh sampai atas, Xray tu memang putih terus paru-paru kiri. Dan bukan itu je mak. Kemungkinan organ-organ lain dah ‘kena’ pun ya. Banyak bacaan darah dah tak cantik. Garam-garam naik turun banyak, semua dah tak betul. Dalam keadaan macam ni, bila-bila masa je…….jantung ayah boleh berhenti….”

Suaraku sangat perlahan nak mengucapkan ayat terakhir tu. Huaaaa!!!! Aku menangis dalam hati…

“Sebab tu kami adik-beradik decide, daripada biar ayah sorang-sorang dalam wad time covid ni, tak ada siapa boleh jaga, tak ada siapa boleh melawat, baik kita bawa balik ayah. Ayah pun dah sebut-sebut nama adik-beradik dia nak jumpa. Ramai juga yang dah sampai ni. So Ain rasa, baik kita jaga ayah kat rumah, bagi ayah selesa sementara ada masa ni. Ok mak?”

Mak seperti sedang telan dalam-dalam apa yang aku sebutkan. Air mata mak tumpah. Mak angguk perlahan. Mak nampak redha dengan kenyataan ini. Aku dan kakakku peluk mak kuat-kuat. Kami bertiga menangis bersama.

“Annisa mintak maaf tak bagitau mak dulu. Kami kesian tengok mak tengah tidur. Mak dah banyak hari tak tidur jaga ayah. Mak letih, mak kena berehat juga. Kami mintak maaf mak,” kata kakakku pula dengan air mata mengalir di pipi.

“Takpe. Betul dah keputusan tu,” balas mak. Dan mak terus menangis, menarik nafas dalam-dalam seolah-olah sedang mengumpul tenaga untuk menjaga ayah di saat-saat akhir.

(Ya Allah, aku redho dengan ujian berat ke atas ayah ku ini. Pinjamkanlah kekuatanMu untuk ayahku mengharungi sakitnya, Pinjamkan kami kekuatan untuk menghadapi ujianMu ini. Hapuskanlah semua dosa-dosa ayah asbab kesakitan yang Engkau berikan kepada ayah. Aku tahu, semua ini adalah yang terbaik untuknya. Terbaik untuk kami juga) Doaku dalam hati sesungguh-sungguhnya sambil air mata tak henti-henti mengalir.

Gambar google

.

Bagaimana Ia Bermula?

.

29 Januari 2021, Jumaat

Aku dapat wsap dari mak. Mak kata mak dan ayah nak dinner di rumah kami. Pelik juga rasanya kerana kebiasaannya kami akan jemput mak ayah makan bersama pada hari Sabtu, satu-satunya hari dalam seminggu yang aku cuti dan full time di rumah bersama keluarga.

Sementara aku menyiapkan meja makan, ayah menunjukkan ketulan di dada kiri belah bawah. Jelas sekali ketulan itu sehingga nampak ketara perbezaan dada kiri dan kanan ayah. Aku memeriksa ketulan itu – keras, tak boleh digerakkan, sakit apabila ditekan, saiznya pun agak besar lebih kurang separuh tapak tanganku (kira-kira 5cm x 4cm).

(“Ya Allah, harap-harap bukan benda yang ada dalam kepala aku sekarang”) bisikku dalam hati.

Aku mula ‘interview‘ ayah. Kata ayah, 2 minggu lepas mak yang mula perasan akan ketulan ini. Mak kata dada sebelah kiri nampak timbul berbanding dada kanan. Masa tu belum sakit lagi. Dalam sehari dua ni, baru ayah mula rasa sakit pada ketulan itu, membuatkan ayah bimbang dan tunjukkan kepadaku.

“Ayah, nanti kita pergi buat x-ray ya.” Serius bunyi suaraku. Aku nampak ada kebimbangan pada raut wajah ayah. Siapa sangka rupanya masa hidup ayah dah tak panjang. Dan rupa-rupanya, hari itulah kami melihat senyuman terakhir ayah…

.

Workouts Yang Membawa Kepada Diagnosis Kanser Paru paru Tahap 4

.

2 Februari 2021, Selasa

X-ray. Ada beberapa shadow yang membuat tidurku tak lena. Ada sedikit left pleural effusion juga, orang kita panggil ‘air dalam paru-paru’. Ketulan di dada yang sakit tu juga sangat jelas pada x-ray.

kanser paru paru tahap 4

Chest x-ray pertama ayah yang membuatkan tidur malamku tak lena.

.

3 Februari 2021, Rabu

Ujian darah. Result cantik.

.

5 Februari 2021, Jumaat

Ultrasound untuk rule out pathology dari abdomen. Organ-organ dalam abdomen normal. Cuma sonographer kata left pleural effusion agak banyak. Aku nampak wajah ayah yang semakin bimbang.

Ayah juga meminta aku membawa balik ubat tahan sakit untuk ayah. Pelik. Tak pernah-pernah ayah minta ubat tahan sakit sebelum ini. Setakat sakit sikit-sikit tu, biasanya ayah abaikan saja. Tapi tidak kali ini.

Kata ayah juga, ayah dah tak boleh tidur baring kerana sakit. Dah tu macam mana ayah tidur? Ayah tidur duduk bersandarkan 2-3 biji bantal. Itu pun on off akan tersengguk-sengguk ke depan ke kanan ke kiri. Tak lena ayah tidur.

Aku semakin pelik dan bimbang. Ini menunjukkan ketulan itu benar-benar mengganggu hidup ayah. Benar-benar menyakitkan. Semakin mengganggu dan semakin menyakitkan. Aku juga perasan muka ayah ada sedikit cengkung. Badan ayah juga dah nampak susut. Mak kata ayah dah kurang makan sebab risau.

Untuk langkah seterusnya, kami terpaksa menunggu minggu hadapan kerana esok lusa ialah Sabtu dan Ahad.

.

8 Februari 2021, Isnin

Ayah ke IPPT untuk bertanya jika boleh teruskan investigations di sana. Namun diberitahu perlu ke hospital untuk diagnosis. Jadi ayah ke Jabatan Kecemasan Hospital Seberang Jaya pula.

Ayah wsap aku satu surat rujukan. Ayah dirujuk ke Klinik Dada kerana apabila ditanya semula di HSJ, rupanya ayah pernah batuk on off dalam 2 tahun ini. Ayah juga pernah membuat chest x-ray tahun lepas tapi diberitahu normal. Batuk, sembuh, batuk, sembuh, batuk, sembuh, begitulah batuk ayah dalam 2 tahun sebelum ini. Simptom-simptom lain tak ada pula. Jadi, sampel kahak juga diambil untuk rule out tuberkulosis (TB) tetapi keputusan semuanya negatif.

.

9 Februari 2021, Selasa

Jumpa pakar di Klinik Dada Hospital Pulau Pinang, kerana kebetulan encik suamiku pengurus klinik dada di situ. Alhamdulillah Allah mudahkan urusan.

Untuk investigation lanjut dan report yang lebih cepat, ayah pilih untuk buat CT Scan Thorax dan Abdomen di Gleanegles Medical Centre (GMC). Buat scan pukul 11 pagi, report dijangka siap selepas pukul 2 petang.

Disebabkan masih awal selesai buat scan (pukul 11 lebih pagi), suamiku merasakan sempat untuk hantar ayah pulang dahulu sebab kesiankan ayah sakit-sakit. Tetapi ditakdirkan suami dan ayah terkandas dalam traffic jam pula. Rumah mak ayah di seberang. Jadinya sudah tidak sempat untuk suami masuk semula ke dalam pulau dan mengambil report scan petang itu.

.

10 Februari 2021, Rabu

Aku terima whatsapp dari suami tengah hari ini. Report CT scan dah diambil.

Setiap ayat dalam report kubaca. Ada beberapa gambar juga. Gambar yang tidak menyenangkan aku.

Mataku mula berkaca, antara hendak melepaskan air mata atau tidak. Lebih menghiris hati apabila encik suami memberitahu, report itu telah ditunjukkan kepada pakar dada. Dan kata mereka setakat ini 90% boleh dikatakan yang ianya adalah kanser paru-paru tahap 4. Cuma untuk pengesahan diagnosis kanser itu memerlukan sokongan dari sampel tisu (biopsy) juga.

Ya Allah, macam mana aku nak beritahu mak? Apa aku nak cakap kalau ayah tanya? Sedari pagi pula tu kedua mereka bertanya tentang ini. Kanser paru paru tahap 4? Ya Allah, apa perlu aku lakukan? Tolonggg pinjamkan aku secebis kekuatanMu…

Tanda-tanda awal beberapa jenis kanser. Kebanyakannya tiada simptom di peringkat awal. Simptom muncul kebanyakannya sudah di tahap banyak-banyak =(

.

To Break The Bad News

.

Aku bingung. Aku harap sangat semua ini hanyalah mimpi. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan. Jadi aku ikut sahaja kata suamiku untuk memberitahu mak dahulu tentang report CT scan itu.

Aku mendekati mak…

“Mak, report siap dah.”

“Haa, macam mana? Benda ‘tu’ (kanser) ke?” Suara mak serius. Muka mak nampak letih. Mungkin tak lena tidur beberapa hari. Physically stress, dan mentally juga. Ya, seperti aku. Tapi mak mesti lebih bimbang. Mak mesti lebih stress lagi.

“Nampaknya macam tu mak. Ada banyak ketul dan dah spread merata-rata. Air kat paru-paru pun banyak, sini tulis moderate. Yang kat dada ayah tu dari situ juga. Dan pakar Aloy kata, setakat ni 90% boleh kata yang tu kanser paru-paru stage 4. Macam mana kita nak bagitahu ayah ni mak?”

Perlahan-lahan aku menceritakan apa yang terkandung dalam report itu sambil mengalirkan air mata. Tak tertahan lagi rasanya. Mak si isteri apatah lagi. Mula-mula mata cuma berkaca. kemudiannya mak menangis semahu-mahunya. Tersedu-sedu. Mujur ayah sedang berehat dalam bilik di atas. Aku harap ayah tak dengar. Mak kata, nanti kena beritahu ayah. Ayah kena tahu semuanya.

Petang itu, sepatutnya aku masuk klinik untuk sesi petang dan malam. Tetapi baru 1km lebih memandu, aku berhentikan kereta di tepi jalan. Aku menangis sesungguh-sungguhnya. Aku tak berdaya untuk bekerja dengan kepala teringatkan ayah yang sedang sakit dan report scan ayah yang begitu. Terus aku wsap staf klinik untuk carikan doktor locum.

Mak ada minta aku beritahu adik-beradik yang lain juga. Jadi, masih di dalam kereta, seorang demi seorang aku telefon. Aku ceritakan dari awal sampai report scan ini dengan suara terketar-ketar dan teresak-esak. Aku tahu kakak dan dua adik lelakiku terkejut amat dengan berita ini. Selama ini pun, ayah nampak sihat, rajin bersenam (berbasikal, naik turun bukit) dan bukan perokok. Pendek kata, tiada risiko pun untuk kanser paru-paru.

Kemudian aku telefon suamiku. Aku tunggu suamiku pulang untuk sama-sama beritahu ayah report ini.

Sampai di rumah mak ayah, ayah nampak bersedia untuk menerima keputusan CT scan. Aku rasa aku dah puas menangis tadi. Aku rasa lebih bersedia untuk memberitahu ayah tentang report scan ini. Untuk lebih mudah faham, aku ‘translate‘ report dalam bentuk lukisan. Setiap ayat dalam report aku terjemahkan dalam bahasa pasar. Tiada satu pun yang tertinggal. Dan ayah mendengar dengan penuh perhatian kesemuanya.

kanser paru paru tahap 4

Lakaran lukisan aku sambil membaca report CT scan kepada ayah. Ada banyak mass pelbagai saiz di paru-paru kiri dan air dalam ‘sarung’ paru-paru (pleura) yang moderate juga.  =(

.

Selesai membaca report, kami semua terdiam seketika. Aku tak sanggup nak mengucapkan diagnosis “kanser paru paru tahap 4” kepada ayah ketika itu. Air mata mak dan aku pula, bagaikan kering untuk sementara setelah puas menangis tadi.

Tiba-tiba ayah bersuara, “Kalau betul benda ‘tu’, ni dah kanser paru paru tahap 4. Tapi ayah rasa bukan.”  kata ayah kemudian mengetap bibirnya.

Apabila seseorang menerima berita buruk atau kehilangan, salah satu step sebelum boleh menerima kenyataan ialah denial. Aku faham. Ayah cuba menidakkan kenyataan. Aku tidak berani untuk bersuara. Aku tidak mengiakan, tidak juga menidakkan. Aku pandang muka ayah, muka mak, muka suami. Kami masih membisu.

“Ok Ainniah, terima kasih banyak. Nak Maghrib dah. Ayah naik dulu.”

Dan kami semua berpandangan sesama sendiri tanpa kata sambil ayah berlalu masuk ke bilik. Aku tahu, hati ayah sedang menangis. Begitu juga hati kami yang lain di situ. Allahu…

.

Ayah Sangat Kuat Semangat

.

Awal-awal tu ayah nampak sedih, banyak termenung, dah tak senyum, muka penuh kerisauan. Kata encik suamiku, ayah menangis sebaik diberitahu tentang report CT scan tadi. Kebetulan suamiku memindahkan air purifier ke dalam bilik mak ayah. Ayah menangis di hadapan suamiku.

“Aloy, ayah tak takut mati. Ayah cuma risau kalau ayah tak dapat sembahyang masa tengah sakit ni,” kata ayah sambil termenung jauh dengan wajah sedih, air mata ayah jatuh jua…

Tapi aku tak ingat berapa hari selepas itu, mak kata ayah sangat kuat semangat. Ayah dah boleh terima kenyataan yang ayah ada kanser paru-paru tahap 4. Ayah ada umumkan dalam wsap group family ayah. Ayah minta maaf dan minta doa adik-beradik semua. Ayah nak buat biopsy yang diperlukan untuk pengesahan diagnosis. Ayah nak dapatkan rawatan.

Agak lega bila mak beritahu begitu. Jadi, kami anak beranak sudah tentunya menyokong lebih dari 100%!

.

15 – 20 Februari 2021

Isnin, 15 Februari 2021 ialah hari elective admission ayah ke wad dada Hospital Pulau Pinang untuk biopsy dan memasukkan tiub untuk mengeluarkan air dalam paru-paru kiri. Prosedur dijalankan awal pagi esoknya. Alhamdulillah berjalan lancar semuanya.

Namun, sekuat-kuat semangat ayah, kuat lagi serangan kanser itu. Semasa aku melawat ayah di wad pada hari ketiga kemasukan (sehari selepas prosedur tadi), raut wajah ayah nampak letih. Ayah macam tengah berperang. Tapi ayah tak henti-henti mendengar dan berzikir (nampak mulut ayah kumat-kamit). Ayah dah tak mahu bercakap kecuali jika perlu sahaja. Ayah dah tak berdaya menjawab panggilan telefon. Makan juga dah banyak kurangnya. Badan ayah nampak susut sangat.

Sejak dipasang tiub untuk keluarkan air dari paru-paru kiri, setiap hari juga sebanyak 1.5 liter air dikeluarkan. 5 hari bersamaan dengan 5 darab 1.5 liter, iaitu 7.5 liter! Tapi disebabkan ayah tak sesak nafas secara klinikal, doktor membenarkan ayah discaj pada hari ke-6 iaitu 20 Februari 2021, walaupun repeat chest xray selepas tiub dicabut menunjukkan air di paru-paru kiri telah memenuhi separuh paru-paru. Kata doktor, tiub itu tidak boleh dibiarkan lebih lama kerana ada risiko jangkitan. Doktor juga berpesan supaya segera ke hospital jika ada sesak nafas.

Untuk keputusan biopsy pula, bagi sampel yang dihantar urgent paling cepat akan mengambil masa kira-kira 3 hari untuk siap. Itu pun jika sampel straight forward. Jika sukar untuk mendapatkan conclusion, akan ambil masa yang lebih panjang kira-kira 10 hingga 14 hari.

Selagi keputusan biopsy belum siap, selagi itulah ayah tak dapat memulakan rawatan. Keputusan biopsy akan mengesahkan diagnosis, menentukan prognosis (orang kita panggil “chance” of terus hidup) dan rawatan. Jadi, tiada pilihan lain, kami terpaksa menunggu dengan sabar.

kanser paru paru tahap 4

Inilah ‘rupa’ air yang keluar dari tiub yang dimasukkan ke dalam pleura (‘sarung’ paru-paru) ayah yang didiagnos kanser paru paru tahap 4 di HPP.

.

21 Februari 2021, Ahad

Mak nampak ayah mula mengalami sesak nafas, tetapi ayah cuba menidakkan.

Aku sewa mesin oxygen concentrator dari HQ PutraCare untuk menyokong pernafasan ayah. Cara mesin ini beroperasi ialah dengan mengambil oksigen dari sekeliling yang akan di-concentrate-kan dahulu sebelum sampai kepada pesakit. Jadi, aku tidak perlu bimbang kandungan oksigen akan habis seperti jika menggunakan tong oksigen.

Aku tak ingat exactly bila, tapi mak kata ayah dah mula tanya pasal anak-anak semua dah ada ke. Ayah juga ada sebut nama adik-beradik dia minta datang nak jumpa. Dan rupanya ayah juga telah buat wasiat dan beri amanah itu ini kepada adik lelaki pertamaku (ini aku tahu selepas ayah dah tiada).

Ayah dah dapat rasa yang hidup ayah dah tak lama. Allahu…

.

22 Februari 2021, Isnin

Aku dapat panggilan dari mak mengatakan ayah nampak semakin penat. Aku syak air dalam paru-paru dah semakin banyak. Jadi aku cadangkan untuk bawa ayah ke hospital. Mak kata ayah tak nak ke hospital. Mak minta aku pujuk ayah. Aku segera singgah rumah mak sebelum masuk klinik pagi itu.

Aku periksa ayah. Aku terangkan keadaan paru-paru ayah yang dah lebih 3/4 dipenuhi air (sambil menangis dalam hati). Aku pujuk ayah supaya ke hospital. Aku kata, kita kena keluarkan air dari paru-paru ayah supaya ayah kurang penat. Lepas tu kita balik, tunggu result biopsy dan buat treatment. Ayah setuju, tapi dengan syarat ayah nak pergi hospital selepas aku balik kerja rehat pukul 2 petang nanti.

Aku masuk klinik dengan kebimbangan yang amat dan sudah tentunya dibanjiri air mata sepanjang perjalanan ke klinik dan semasa pesakit tiada. Harapnya tiadalah pesakit yang perasan mataku yang merah dan sedikit sembab. Petang itu aku pulang dengan tong oksigen juga supaya ayah boleh gunakan dalam perjalanan ke hospital.

Asalnya kami adik-beradik berbincang untuk bawa ayah ke Hospital Pulau Pinang. Tapi memandangkan sudah petang kemungkinan traffic jam tinggi, dan prosedur untuk admission pula akan memakan masa yang panjang, akhirnya kami decide untuk bawa ayah ke Hospital Seberang Jaya yang hanya 5 minit perjalanan dari rumah. Lebih mudah juga untuk bergilir jaga ayah di wad nanti jika perlu.

Sebelum ayah berangkat ke hospital, aku pasangkan oksigen pada ayah. Ayah nampak lebih lega sebaik dipasangkan oksigen. Aku peluk ayah erat-erat.

“Ayah kena kuat tau. Kami tunggu ayah balik sini.” Masih ku ingat wajah lemah ayah memandangku sambil mengangguk lemah dengan mata yang sayu.

Arwah ayah sepanjang hidup tidak pernah mempunyai apa-apa penyakit kronik. Ayah rajin bersenam, istiqomah ambil suplemen yang diperlukan, rajin naik turun bukit treking dengan mak dan kawan-kawan, tidak merokok. Doktor pun pelik sebab tiada risiko. Inilah takdir yang harus kami terima dengan hati yang redho. Allah sayang ayah. Gambar ini gambar masa hari lahir ayah yang ke-67 (23 Disember 2020), kali terakhir cucu-cucu sambut birthday atok mereka.

.

23 Februari 2021, Selasa

Sekitar pukul 1 pagi, aku diberitahu oleh doktor perubatan yang memeriksa tentang keadaan ayah. Apa yang diberitahu bolehlah disimpulkan begini…

Air dalam paru-paru kiri ayah banyak, perlu dikeluarkan. Mereka akan buat urgent pleural tapping malam itu juga. Selain itu, keputusan darah ayah banyak yang dah tak cantik. Fungsi buah pinggang sudah mula merosot, banyak garam-garam dalam darah parasnya sudah tidak menentu (ada tinggi ada rendah), cardiac enzymes juga mula meningkat, fungsi hati juga sudah terjejas. Kata doktor itu, ada kemungkinan sel kanser telah merebak ke bahagian abdomen juga. Dan disebabkan ini jantung ayah boleh berhenti pada bila-bila masa sahaja. Keadaan ayah sudah tenat. Doktor meminta aku memberitahu keluarga dan bersedia untuk apa saja kemungkinan.

Allahu, aku rasakan aku dah lemas dalam lautan dalam! Tolong aku Ya Allah.

Kira-kira pukul 3 pagi pula, suamiku yang berada di hospital menelefonku. Katanya, ayah dah menjalani urgent pleural tapping. Sebanyak 1.2 liter air dikeluarkan. Repeat chest xray tidak berapa cantik. Aku menangis semahu-mahunya apabila melihat filem chest xray ayah yang putih di keseluruhan paru-paru kiri (air penuh di paru-paru kiri).

Masa ayah dah tak panjang. Kami adik-beradik nak bawa pulang ayah. Di saat-saat akhir ini, pastinya ayah nak jumpa adik-beradiknya, nak sentiasa ditemani keluarga, dan nak berada di rumah. Aku berjumpa doktor untuk menandatangani surat discaj secara AOR (At Own Risk). Walaupun doktor itu tahu yang aku juga seorang doktor, beliau tetap menjalankan tugas memberi penerangan risiko-risiko dengan jelas. Thanks Dr.

Aku sampai rumah bersama ayah selepas azan Subuh. Ketika inilah mak datang menghampiriku dan bertanyakan soalan di awal entri ini.

.

Terima Kasih Allah, Tunaikan Semua Permintaan Ayah di Saat-saat Akhir Sebagai Penderita Kanser Paru paru Tahap 4

.

Awal-awal lagi, aku rasa ayah dah tahu yang ayah akan deteriorate dan kemudian pergi meninggalkan kami. Ayah ada meminta beberapa barang keperluan pesakit bedridden – katil adjustable (yang boleh lipat-lipat tu), kerusi roda, kerusi roda untuk memudahkan membuang air, walking frame dan sebagainya. Terima kasih Allah, semuanya ada depan mata dan ayah ‘puas’ gunakan sehingga nafas terakhir ayah.

Ayah juga ada sebut nama adik-beradik ayah nak jumpa. Alhamdulilah, mudah saja semua memohon kebenaran merentas negeri time covid19 ni. Dalam tangisan yang tak henti-henti, kami rasa puas hati melihat semua anak menantu ayah dan adik-beradik ayah bergilir-gilir meneman dan menjaga ayah. Kami puas dapat tunaikan apa yang ayah nak.

Pendek kata, aku terlalu bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan untuk ayah walaupun masa ayah dah tak lama. Setiap kali melihat ayah, setiap kali itu jugalah air mata ini mengalir deras. Terima kasih keluarga besarku, sokongan kalian amat aku hargai.

Berada dalam medical line ni, aku faham apa yang sedang berlaku pada ayah. Bila pakcik-pakcik aku tanya berapa lama ayah boleh bertahan, aku tiada jawapan pasti. Yang aku tahu…tak lama…sudah tidak lama lagi…

Setiap kali memerhatikan kesakitan ayah yang teramat sangat dan semakin sakit dan semakin sakit dari hari ke hari, doaku setiap kali melihat ayah sejak AOR dari HSJ cumalah yang ini,

“Ya Allah, tolongggggg ampunkan semua dosa ayah asbab sakit yang Engkau beri ayah ini. Terimalah solat dan amalan-amalan ayah sepanjang hidupnya. Dan jika mati itu baik untuk ayah, Engkau mudahkanlah ayah pergi.”

Sungguh. Berat sangat untuk tuturkan doa ini. Tetapi apakan daya, aku akur yang ayah milik Allah. Tiada seorang atau satu benda pun milik kita di dunia ini. Sampai waktu, Allah akan ambil semuanya, Allah pasti ambil tepat pada masanya. Melihat ayah kesakitan yang teramat sangatlah meruntunkan jiwa.

Malam itu sukar untuk aku lelapkan mata. Bila sudah terlena, terjaga pula pada pukul 3 pagi dalam tangisan. Aku teringatkan ayah. Doa tadi kupanjatkan berkali-kali dalam tahajjudku. Telekungku dibasahi air mata. Aku tahu, doa yang bersungguh-sungguh ketika tahajjud adalah ibarat anak panah yang mengenai sasaran. Tolongggg makbulkan doaku ya Allah. Tolongggg ampunkan dosa-dosa ayah. Tolongggg terima semua solat dan amalan ayah. Tolonggg ambil ayah dengan mudah. Aku tahu Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Lembut sangat sayangkan ayah.

Aku tertidur semula semasa menyusukan Ucu, anak bongsuku.

“Doa ketika solat Tahajjud ialah ibarat anak panah yang tepat mengenai sasarannya.” (Imam As-Syafié)

.

Masanya telah tiba…

.

24 Februari 2021, Rabu

Panggilan telefon seawal 8 pagi lebih membuatkan aku bergegas bersiap untuk ke rumah mak. Aku menaiki kerata ayahcik yang sampai di hadapan rumahku tanpa diduga dengan muka serius.

Cepat,” kata ayahcik. Aku dapat merasakan ayah semakin nazak.

Kurang dari 5 minit aku sampai rumah mak. Aku lihat ayah dah gasping (tercungap-cungap) dengan mata tertutup. Ada ramai orang membacakan Yaasin di sekeliling katil ayah. Aku menghampiri ayah, memegang ayah dan membisikkan apa yang patut. Aku pegang tangan ayah. Aku tahu ayah sedang on the way ke ‘sana’.

Ya Allah, tolonggg mudahkan semua. Tolonggg mudahkan ayah, Ya Allah.” Doaku sesungguh-sungguhnya dalam hati sambil mulut membaca surah Yaasin untuk ayah dengan suara tersedu-sedu kerana menangis.

Belum sempat ku habiskan bacaan Yaasinku, aku perasan dengan ekor mataku yang ayah menarik nafas terakhirnya dengan perlahan-lahan sekali. Ayah dah tidak lagi bernafas selepas itu. Kerut kesakitan pada wajah ayah juga sudah tiada. Ayah nampak begitu tenang sekali. Allah dah ambil ayah. Allah dah ambil ayah dari kami untuk selama-lamanya.

Perlahan-lahan aku menghampiri ayah. Dengan takungan air di kedua mataku, aku memeriksa ayah.

Tiada lagi kedengaran denyutan jantung melalui stetoscope. Tiada lagi bunyi udara keluar masuk dalam paru-paru. Kaki dan tangan ayah kesejukan. Kulit ayah pucat. Nadi juga sudah tidak dapat dirasakan. Akhir sekali, anak mata ayah begitu besar sekali dan tidak bertindak balas dengan cahaya (pupils dilated). Air mataku tumpah lagi. Aku meminta suamiku memeriksa pula untuk double confirmation.

Ya, di hadapan kami ketika itu tinggal jasad kaku ayah sahaja. Ayah dah pergi. Ayah dah tidak sakit lagi. Suamiku kemudian menghubungi ambulans untuk mengeluarkan surat kebenaran pengkebumian.

kanser paru paru tahap 4

Ayah pergi meninggalkan dunia yang fana ini di hadapan mata kami pada hari Rabu, 24 Februari 2021, pukul 9.50 pagi. Secara rasminya, kematian diumumkan pada pukul 10.30 pagi oleh pihak ambulans. Jenazah ayah dibawa ke Masjid Seberang Jaya untuk dimandi dan disolatkan. Kemudian dikebumikan sebaik selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jaya. Al-Fatihah…

.

Dua hari selepas ayah pergi, keputusan biopsy ayah siap. Kesimpulan yang tertulis pada report biopsy,  “Poorly differentiated carcinoma with unknown primary origin” dah hasil siasatan terhadap air dari paru-paru pula menunjukkan yang ianya “malignant pleural effusion“, mengesahkan diagnosis yang arwah ayah menghidap kanser. Secara keseluruhannya, ayah meninggal dunia asbab kanser paru paru tahap 4.

Untuk maklumat ringkas, poorly differentiated carcinoma ialah jenis sel kanser gred tinggi yang berkebolehan bertumbuh dan merebak dengan lebih cepat. Ianya merupakan sel kanser yang ‘jahat’. Ada sebab kenapa Allah pilih ayah meniggalkan kami dengan asbab ini. Kami redho.

Dari Dia kita datang. Kepada Dia juga kita akan kembali.

Terima kasih kepada yang membaca entri ini sampai habis. Saya, Ainniah Zulkefli memohon, minta sedekahkan Al-Fatihah seikhlas hati untuk arwah ayah saya, Allahyarham Zulkefli bin Mohd Adam.

Semoga ayah tenang di sana. Semoga Allah cucuri rahmat yang banyak buat ayah. Semoga Allah mudahkan kehidupan alam kubur ayah sampai hari akhirat. Semoga Allah tempatkan ayah di syurga tertinggi, syurga Firdaus. Dan semoga Allah temukan kita sekeluarga semula di sana nanti. Aaamiiin ya rabba ‘aalamiiin….