pelepasan cukai lhdn

Dah hampir sampai ke hujung tahun 2020, sebaiknya anda menyemak perbelanjaan yang telah anda lakukan sepanjang tahun ini. Mana tahu sempat lagi untuk anda maksimakan perkara yang boleh dituntut untuk pelepasan cukai LHDN.

Lagi-lagi kalau jumlah pendapatan anda melebihi RM36,000 setahun, biasanya adalah sejumah cukai yang anda perlu bayar. Untuk pendapatan kurang RM36,000 setahun, biasanya tiada apa yang perlu anda risaukan (biasanya tak dikenakan cukai). Tetapi kalau anda nak declare pun apa salahnya.

Buat anda yang tidak pernah mengisi borang untuk e-filing, sebelum anda kena ‘tangkap’ dengan bayaran denda 45% dari jumlah cukai, baik anda bertindak lebih serius untuk kebaikan anda juga. Bukannya apa, saya dah kena haha. Banyak tu 45%!

Jom kita tengok pula ada 21 perkara yang boleh mendapat pelepasan cukai LHDN.  Info ini adalah berdasarkan maklumat dari laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk tahun taksiran 2019. Maklumat ini mungkin berbeza untuk tahun hadapan (tahun taksiran 2020).Jangan lupa semak semula nanti.

.

21 Perkara Untuk Pelepasan Cukai LHDN

.

1. Individu dan Saudara Tanggungan

Untuk perkara pertama ini, automatik anda boleh terus tuntut RM9,000.

.

2. Rawatan Perubatan, Keperluan Khas dan Penjaga untuk Ibu Bapa

Anda memerlukan pengesahan oleh pengamal perubatan tentang masalah perubatan ibu atau bapa, atau ibu dan bapa anda.

Tuntutan yang boleh dibuat ialah terhad sebanyak RM6,000 atau RM3,000 (RM1,500 untuk ibu dan RM1,500 untuk bapa).

.

3. Peralatan Sokongan Asas

Peralatan sokongan asas ini ialah alat yang digunakan untuk menyokong kehidupan anda, suami/isteri, anak-anak atau ibu bapa yang kurang upaya. Anda perlukan kad OKU untuk menyokong tuntutan ini.

Tuntutan ini terhad kepada RM6,000 setahun.

.

4. Individu Kurang Upaya

Untuk anda yang kurang upaya, boleh menuntut RM6,000 setahun.

.

5. Yuran Pengajian Sendiri

Jika anda menanggung sendiri yuran pengajian anda, anda juga berhak membuat tuntutan. Tetapi jumlah tuntutan adalah terhad kepada RM7,000 setahun.

Jenis pengajian yang boleh menuntut pula ialah sebarang kursus atau bidang bagi peringkat sarjana dan falsafah. Manakala bagi peringkat lain, bidang yang boleh dituntut ialah pengajian dalam kursus undang-undang, perakaunan, kewangan Islam, teknikal, vokasional, industri, saintifik atau teknologi.

Tuntutan ini tidak layak untuk yang menerima biasiswa.

.

6. Perbelanjaan Perubatan Bagi Penyakit Serius

Tuntutan ini adalah untuk diri sendiri, suami/isteri atau anak-anak anda.

Antara penyakit serius yang boleh dituntut belanja perubatannya ialah seperti berikut:

  • Kanser
  • Serangan jantung
  • Pulmonary hypertension
  • Sakit buah pinggang kronik
  • Sakit hati kronik (chronic liver disease)
  • Fulminant viral hepatitis
  • Tumor dan kecacatan pembuluh darah di otak
  • Melepuh dan melecur kebakaran yang keterlaluan
  • Pemindahan organ utama
  • Sindrom Parkinson
  • HIV & AIDS
  • Pemotongan kaki atau tangan
  • Kecederaan kepala akibat kemalangan
  • Penyakit kulit kronik
  • Penyakit mental
  • Diabetes mellitus
  • Thalassemia major
  • Rheumatology
  • Leukemia

.

7. Pemeriksaan Perubatan Penuh

Untuk anda yang membuat pemeriksaan perubatan secara berkala, bolehlah menuntut perkara ini, tetapi nilainya terhad kepada RM500 sahaja. Tuntutan ini juga boleh dibuat jika pasangan atau anak-anak anda yang membuat pemeriksaan perubatan.

Bagi perkara ke 6. dan 7, jumlah tuntutan keduanya terhad kepada RM6,000.

.

8. Gaya Hidup

Untuk perkara ini, lebih banyak yang boleh anda tuntut asalkan anda masih menyimpan resit-resit perbelanjaan sehingga 7 tahun.

Antara yang boleh dituntut ialah:

  • Buku, majalah, surat khabar, jurnal, apa-apa penerbitan untuk bacaan, dengan syarat bukan bahan bacaan terlarang
  • Telefon pintar, komputer peribadi, tablet, dengan syarat bukan untuk kegunaan perniagaan
  • Peralatan untuk sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (tidak termasuk jenis basikal bermotor) dan bayaran keahlian gimnasium
  • Bil langganan bulanan internet yang menggunakan nama anda sendiri

Walaupun banyak yang boleh dituntut di bawah perkara ini, nilainya terhad kepada RM2,500 sahaja.

.

9. Peralatan Penyusuan

Syarat-syarat tuntutan:

  • Ibu menyusukan anak 2 tahun dan ke bawah
  • Peralatan penyusuan untuk kegunaan sendiri
  • Potongan dibenarkan setiap 2 tahun sekali
  • Terhad RM1,000
  • Contoh: pam susu, nursing cover, storage bottles, cooler bag, dan sebagainya

.

10. Yuran Tadika/Taska Anak Bawah 6 Tahun

Tuntutan terhad kepada RM1,000 dengan syarat jika anda menghantar anak-anak ke tadika atau taska yang berdaftar sahaja.

Untuk semakan tadika/taska berdaftar, boleh rujuk entri Cara Semak Tadika Swasta Berdaftar Dengan KPM.

.

11. Tabung Bersih Dalam SSPN

Sebagai contoh, anda telah menyimpan sejumlah RM10,000 di dalam akaun SSPN anak anda sepanjang tahun 2019, Dalam tahun yang sama, anda telah mengeluarkan RM3,000. Jadi, jumlah yang boleh anda tuntut ialah RM10,000 – RM3,000 = RM7,000.

Nilai tuntutan terhad kepada RM8,000.

Suami isteri yang membuat tuntutan bersama, membuka akaun SSPN yang sama, layak menuntut terhad RM8,000 setahun.

Manakala suami isteri yang membuat tuntutan berasingan, membuka akaun SSPN berasingan untuk anak yang sama, tuntutan ini terhad kepada RM8,000 seorang setahun.

Baca juga Cara Buka dan Deposit Akaun SSPN Secara Online.

.

12. Suami / Isteri / Bayaran Alimoni Kepada Bekas Isteri

Terhad kepada RM4,000.

.

13. Suami / Isteri Kurang Upaya

Terhad kepada RM3,500.

.

14. Anak Yang Belum Berkahwin & 18 Tahun Ke Bawah

RM2,000 untuk setiap anak

.

15. Anak Yang Belum Berkahwin, 18 Tahun Ke Atas & Menerima Pendidikan Sepenuh Masa

Pendidikan anak adalah di peringkat A-Level, sijil, matrik, persediaan atau pra-ijazah.

Tuntutan RM2,000 untuk setiap anak.

.

16. Anak Yang Belum Berkahwin, 18 Tahun Ke Atas Dan Syarat-syarat Ini:

  • Masih belajar di peringkat pengajian tinggi (tidak termasuk syarat dalam perkara ke 15.) di universiti, kolej, atau insittusi pengajian seumpamanya di Malaysia, ATAU
  • Berkhidmat di bawah satu ikatanartikel atau indentur untuk mendapatkan kelayakan perdagangan atau profesion di Malaysia; atau mengikuti kursus peringkat ijazah dan ke atas di institusi pengajian tinggi di luar Malaysia
  • Kursus dan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.

.

17. Anak Kurang Upaya

Tuntutan sebanyak RM6,000.

Tuntutan tambahan sebanyak RM8,000 untuk:

  • Anak kurang upaya berumur 18 tahun dan ke atas
  • Belum berkahwin
  • Mengikuti kursus di peringkat diploma dan ke atas di dalam Malaysia, atau peringkat ijazah dan ke atas di luar negara dan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.

.

18. Insurans Nyawa dan KWSP

TIDAK termasuk yang telah melalui potongan gaji.

Untuk penjawat awam berpencen, tuntutan terhad kepada RM7,000.

Untuk selain itu, tuntutan insurans nyawa terhad kepada RM3,000 dan KWSP RM4,000 (jumlah RM7,000).

cara mencarum kwsp sendiri

Tahukah anda, jika anda tidak mempunyai pencen atau tidak mencarum KWSP melalui potongan gaji, anda boleh mencarum KWSP sendiri pada bila-bila masa? Klik gambar untuk info lanjut.

.

19. Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda (Deferred Annuity)

Berkuatkuasa mulai Tahun Taksiran 2012 sehingga Tahun Taksiran 2021, dan terhad kepada RM3,000.

.

20. Insurans Pendidikan dan Perubatan

TIDAK termasuk yang telah melalui potongan gaji. Terhad kepada RM3,000.

.

21. Caruman Kepada PERKESO

Terhad kepad RM250.

.

Sebagai penutup, kita masih ada sebulan lebih untuk mengakhiri tahun 2020 kita dengan cemerlang. Yang berlalu biarkan ia menjadi sejarah yang takkan dapat diubah. Terus pandang ke hadapan dan cipta sejarah yang baik untuk ‘hari ini’. =)

Pengalaman sendiri selepas resign dari government tahun 2014:

  • 2014-2017 : locum (tiada kerja tetap), jadi tak dikenakan cukai
  • 2018 : kena cukai 4 angka dalam keadaan kewangan yang mencabar (klinik baru buka masih belum stabil)
  • 2019 : dah pandai sikit tentang cukai, siap dapat semula bayaran terlebih bayar haha
  • 2020 : kena denda sebab tak declare income dari Shaklee 2018 & 2019 (haha bagi balik duit lebih bayar tu)

Pengajaran dan Tips:

  1. Declare SEMUA income kita terutamanya jika lebih RM36,000 setahun. Sebab kalau kena dengan LHDN, denda sahaja dah 45% dari jumlah cukai. Dari patut bayar RM100, boleh jadi RM200. Patut bayar RM3,000 boleh jadi RM6,000. Fuh, bayar sambil menangis wei!
  2. Ambil tahu tentang semua pelepasan yang kita boleh dapat. Maksimumkan mana yang boleh. Macam saya pentingkan yang boleh membantu untuk masa depan (SSPN, KWSP, etc).
  3. PENTING! Simpan semua resit dan bukti selama 7 tahun. Digalakkan simpan dalam bentuk gambar juga sebab lama-lama ink pada kebanyakan resit akan pudar. Saya simpan dalam Google Drive, buat folders ikut tahun (kena simpan 7 tahun kan?). Bila-bila boleh access as long as ada smart phone or laptop or PC, dan line internet. Kalau tukar fon or tiba-tiba phone rosak pun gambar tak hilang.
  4. Wajib ada simpanan kecemasan at least 6 bulan gaji. Kalau rasa susah nak dapat 6 bulan, simpan 3 bulan gaji dulu. Pelan-pelan kayuh.
  5. Ada duit lebih, ikhlaskan hati sedekah & zakat. Allah dah janji, yang akan ‘balik’ kat kita ialah 10 kali ganda yang diikfakkan insyaaAllah. Apa yang kita beri itulah yang kita punya kat sana nanti.
Ainniah Zulkefli

Perlukan pendapatan tambahan untuk jangka masa panjang?, Klik sini untuk whatsapp saya