“Doktor, saya punya haid lewat beberapa hari bulan ini. Saya buat urine pregnancy test (UPT) keputusannya naik dua line (positif). Tetapi esoknya ada pendarahan pula. Apa maksudnya ini ya doktor?”

pendarahan implantasi

Pendarahan implantasi (implantation bleeding) merupakan tanda kehamilan terawal yang berlaku pada kira-kira 25% wanita hamil.

Apabila sperma (benih lelaki) dan ovum (telur wanita) disenyawakan di dalam tiub Fallopion, zygot yang terbentuk akan bergerak ke arah rahim untuk ‘menanamkan’ dirinya ke dalam dinding rahim yang dipanggil endometrium untuk terus membesar.

Dinding rahim pada ketika ini menebal dan kaya dengan salur darah.

Oleh itu, pada sesetengah wanita yang disahkan hamil boleh mengalami pendarahan yang dipanggil pendarahan implantasi (implantation bleeding).

Pendarahan implantasi adalah suatu proses yang normal dan TIDAK memerlukan rawatan perubatan.

Yang boleh mengelirukan ialah untuk membezakan sama ada ianya adalah pendarahan implantasi atau haid.

Mari kita teruskan membaca bagaimana untuk membezakan pendarahan ini.

.

Perbezaan Pendarahan Implantasi & Haid

.

Secara semulajadinya, implantasi zygot berlaku sekitar hari ke-6 hingga ke-12 selepas persenyawaan.

Manakala pendarahan haid berlaku bergantung kepada kitaran haid masing-masing.

Jadi, pendarahan implantasi biasanya berlaku lebih awal atau jatuh pada tarikh haid yang dijangka.

Warna darah yang turun juga berbeza, iaitu lebih pink atau coklat bagi pendarahan implantasi, berbanding darah haid yang berwarna merah terang.

Darah yang disebabkan implantation bleeding juga adalah sedikit sahaja dan makin berkurang dari hari ke hari (kebiasaannya 1-3 hari).

Dan darah haid pula di peringkat awalnya adalah sedikit, kemudiannya menjadi banyak dan berketul-ketul, berlanjutan sehingga 4 hingga 7 hari.

Seorang wanita hamil yang mengalami pendarahan implantasi boleh mengalami sakit perut ‘sikit2’ di bahagian rahim juga.

Tetapi kesakitan (senggugut) itu tidaklah sekuat ketika mengalami haid.

Tanda yang paling penting ialah, wanita yang mengalami implantation bleeding mempunyai UPT yang positif.

Wanita yang hamil TIDAK mungkin mengalami haid.

pendarahan implantasi

.

“Apa Masalah Lain Yang Perlu Saya Risau Jika Mengalami Pendarahan Di Awal Kehamilan, Selain Pendarahan Implantasi?”

.

Sekiranya anda mengalami pendarahan di awal kehamilan, segeralah ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

Kerana selain pendarahan implantasi, wanita hamil yang mengalami pendarahan di awal kehamilan juga dikhuatiri mengalami keguguran, kandungan anggur (molar pregnancy) atau mengandung luar rahim yang boleh mengancam nyawa ibu!

Selain itu, pendarahan di awal kehamilan juga boleh berlaku disebabkan :

  • iritasi terhadap pangkal rahim (cervix)
  • luka selepas bersama suami
  • senaman berlebihan
  • angkat berat melampau
  • jangkitan vagina

pendarahan implantasi

Kandungan luar rahim terjadi apabila zygot menempel SELAIN di dinding rahim. Gambar menunjukkan contoh-contoh kandungan luar rahim.

.

“Bolehkah saya solat dan puasa jika mengalami pendarahan implantasi?”

.

Kerana darah implantasi BUKAN darah haid atau nifas, wanita hamil yang mengalaminya bolehlah bersolat dan berpuasa seperti biasa.

Wallahu’alam.

.

Sumber:

  1. American Pregnancy Association
  2. Healthline
  3. WebMD

Berminat untuk mencuba Set Hamil yang memenuhi keperluan nutrisi ibu hamil?