pergerakan bayi dalam kandungan

Secara purata, ibu hamil pertama kali merasakan pergerakan bayi dalam kandungan di antara minggu ke-18 dan 20 kehamilan.

Namun, jika anda baru pertama kali mengandung, anda mungkin merasakan “quickening” ini selepas minggu ke-20. Dan ibu hamil yang mengandung kali kedua dan seterusnya, mungkin dapat merasakan ini seawal minggu ke-16 lagi.

Pergerakan bayi dalam kandungan boleh dirasakan seperti suatu tendangan, gegaran atau pusingan.

Kebiasaannya, bayi cuma tidak bergerak semasa mereka ‘tidur’. Waktu tidur ini ialah antara 20 hingga 40 minit, dan amat jarang sekali melebihi 90 minit.

Bilangan dan intensiti gerakan bayi dalam kandungan akan terus meningkat dengan bertambahnya minggu kehamilan. Sehingga kira-kira 32 minggu kehamilan, ianya menjadi sama sahaja kerana saiz bayi yang semakin membesar dan ruang dalam rahim yang semakin ‘sempit’ bagi bayi.

Dan gerakan bayi sepatutnya turut dirasakan semasa bersalin juga.

.

Pentingkah Pergerakan Bayi Dalam Kandungan?

.

Ya. Sangat penting kerana ianya merupakan penunjuk kepada kesejahteraan bayi dalam kandungan. Bayi yang banyak bergerak adalah bayi yang aktif.

Jika ibu hamil merasakan pergerakan bayi berkurang dari biasa, haruslah segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan.

Kebiasaannya, imbasan ultrasound akan dilakukan untuk melihat denyutan jantung bayi. Dan jika perlu, akan dirujuk ke hospital untuk pemantauan jantung bayi dengan cardiotocography (CTG).

Antara punca bayi kurang bergerak dari biasa ialah pengambilan ubat tertentu oleh ibu contohnya ubat tahan sakit dan penenang, pengambilan alkohol dan ibu merokok.

Penyakit-penyakit yang dihadapi oleh ibu semasa hamil juga berisiko mengancam kesihatan bayi dalam kandungan.

pergerakan bayi dalam kandungan

Pemantauan dengan CTG ialah untuk mengesan aktiviti bayi selama sekurang-kurangnya 30 minit.

.

Cara Kira Gerakan Bayi Dalam Kandungan

.

Di Malaysia, pergerakan bayi perlu dicatatkan di dalam Buku Merah bermula dari minggu ke-28 kehamilan.

Caranya ialah dengan mula mengira pada waktu yang sama setiap hari. Contohnya, setiap hari mulalah mengira pada pukul 10 pagi. Setiap kali gerakan bayi dikira sebagai 1 gerakan. Pukul berapa gerakan bayi cukup 10 gerakan, ditulis di bahagian yang disediakan.

Gerakan bayi sepatutnya cukup 10 gerakan dalam masa 12 jam.

Walau bagaimanapun, berdasarkan Royal College of Obstetricians & Gyneacologists (RCOG), sebenarnya tiada bilangan spesifik yang menyatakan gerakan bayi itu adalah “normal”.

Ibu hamil sendirillah yang paling arif dan ‘aware’ dengan gerakan bayi dalam kandungan.

Kesimpulannya, buat ibu-ibu hamil semua. Ambillah perhatian serius terhadap gerakan bayi anda sehingga bayi dilahirkan.

Kalau rasa bimbang dengan gerakan bayi anda, segeralah mendapatkan pemeriksaan. Terutamanya jika anda juga menghidap masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi semasa hamil.

pergerakan bayi dalam kandungan

 

Dapatkan maklumat penting tentang kehamilan di Info Hamil.