resepi daging dendeng sedap

Rasanya masih belum terlambat lagi untuk Ain wish Selamat Berpuasa dan menyambut Ramadhan bagi semua Muslimin Muslimat di seluruh dunia. Macam biasa, masuk saja bulan Ramadhan encik suami Ain suka request untuk bersahur atau berbuka puasa dengan daging dendeng sedap.

Boleh dikatakan resepi daging dendeng sedap ni antara menu kegemaran encik suami dan anak-anak juga. Nak membuat masakan ini bagi Ain tak susah mana, tapi agak memakan masa juga.

Sudah namanya pun daging, perlulah merebus sehingga empuk. Tapi zaman sekarang zaman maju dah ada macam-macam yang boleh membantu memasak dengan cepat, macam periuk Noxxa.

Ok, jom kita tengok resepi daging dendeng sedap yang mudah je nak buat ni.

.

Bahan-bahan Dalam Resepi Daging Dendeng Sedap

.

  • Daging
  • Cili kering
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Halia
  • Belacan
  • Asam keping
  • Kicap
  • Gula
  • Garam

.

Cara-cara Membuat Daging Dendeng Sedap

.

Daging dibasuh bersih dan direbus sehingga lembut. Ain buat setengah kilogram, cukuplah sekali makan kami 5 beranak.

Selesai merebus sehingga lembut, asingkan daging dari air rebusan. Hiris nipis-nipis kemudian tumbuk sedikit dengan lesung. Kemudian perapkan dengan kicap sebelum digoreng garing.

Segenggam cili kering dibuang biji, direbus sehingga lembut, dibuang airnya, dibasuh kemudian dikisar bersama bahan-bahan lain. Bawang besar, Ain bajet-bajet dalam 3 kali ganda daripada cili kering (lagi banyak bawang lagi manis lagi sedap kuahnya nanti). Bawang putih 3-4 ulas sahaja. Boleh tambah seinci halia juga untuk dikisar. Jangan lupa belacan juga.

Untuk kisar, masukkan air sehingga melepasi paras pisau mesin kisar sahaja. Kalau tak cukup tambah sikit-sikit. Kalau air banyak, jenuhla nak tunggu sambal tumis kering nanti hihihi.

Masa kisar, dah boleh panaskan minyak dalam kuali. Banyak mana minyak, sebaiknya sampai tenggelam semua sambal yang akan ditumis nanti. Kemudian bolehlah tumis bahan kisar sehingga pecah minyak atau sambal telah garing.

Bila dah pecah minyak, letakkan asam keping dalam sambal. Banyak mana nak letak, bergantung kepada kemasaman yang anda mahu. Biasanya Ain letak sekeping dulu, kemudian kena rasa kalau-kalau dah masam cepat-cepat keluarkan asam keping tadi supaya tak jadi lebih masam.

Lepas tu, masukkan kicap, gula dan garam secukup rasa. Dah siap kuahnya, bolehlah gaulkan sebati dengan hirisan daging yang telah digoreng tadi.

Ada orang lebih suka bawang besar yang dipotong bulat sebagai hiasan.

Tadaa!!! Daging dendeng sedap dah siap dan sedia untuk dihidang dan dinikmati sekeluarga.

Senang je kan membuatnya? Selamat mencuba ya.

resepi daging dendeng sedap

Rujuk 30 Cadangan Resepi Sahur di Bulan Ramadhan untuk koleksi resepi masakan lain.