sakit sendi pergelangan tangan

Pernahkah anda mengalami sakit sendi pergelangan tangan yang tak hilang-hilang?

Anda mungkin mengalami De Quervain’s tenosynovitis. Nak menyebut pun boleh terbelit lidah kan? Haha!

.

Apa Itu De Quervain’s Tenosynovitis?

.

De Quervain’s tenosynovitis ialah keadaan menyakitkan di bahagian pergelangan tangan yang melibatkan tendon yang mengawal pergerakan ibu jari.

Tendon ialah struktur yang menyambungkan otot kepada tulang untuk membolehkan pergerakan.

Ia terjadi apabila seseorang secara berterusan menggunakan jari secara berlebihan (chronicoveruse‘).

Contohnya ibu selepas bersalin banyak mengangkat bayi, mengangkat benda-benda berat selalu dan sebagainya, menyebabkan tendon tersebut membengkak.

Lalu mengakibatkan lapisan yang membaluti tendon tersebut mengalami keradangan.

Tendon yang membengkak ini menyebabkan saraf berdekatan tertekan.

Maka, terjadilah sakit dan kebas tangan.

Antara lain, boleh juga disebabkan oleh trauma ke atas pergelangan tangan atau berlaku keradangan sendi.

Finkelstein Test

Bagi membuat diagnosis De Quervain’s tenosynovitis ini, pesakit akan diminta menggenggam ibu jari ke dalam genggaman tangan.

Kemudiannya akan diminta membengkokkan pergelangan tangan ke arah jari kelingking (seperti dalam gambar di bawah).

Sakit yang bertambah dengan pergerakan ini menunjukkan keputusan Finkelstein in positif.

Dan diagnosis De Quervain’s tenosynovitis boleh dibuat.

 

.

Rawatan Sakit Sendi Pergelangan Tangan

Setelah didiagnos De Quervain’s tenosynovitis, pesakit akan diberi rawatan berikut:

  • meletakkan pek ais di tempat sakit untuk melegakan sakit
  • pengambilan ubat tahan sakit jenis ‘non-steroidal antiinflammatory drugs‘ (NSAID). Sila berjumpa doktor jika perut anda sensitif atau anda mengalami alahan dengan ubat jenis ini.
  • mengurangkan aktiviti yang terus membebankan pergelangan tangan
  • merehatkan pergelangan tangan dengan memakai splint setiap hari untuk 4 hingga 6 minggu
  • jika ubat tahan sakit tidak memberi kesan, pesakit boleh mendapatkan suntkan steroid di klinik yang mempunyai servis ini
  • pembedahan sebagai jalan terakhir sekiranya masih sakit walaupun setelah diberi suntikan

Walaupun anda telah mendapatkan rawatan, anda masih berisiko untuk mengalami sakit ini di masa akan datang selagi faktor penyebab (contoh: kerap mengangkat berat) masih ada.

Jadi, jalan terbaik ialah menghindari faktor penyebab (jika boleh), mengamalkan pemakanan sihat dan rajin bersenam.

Pengambilan suplemen seperti B Complex dan kalsium, hanyalah bertindak sebagai suplemen untuk kesihatan saraf dan otot.

Sumber : Family Doctor