Di dalam istilah perubatan, sakit tengkuk yang dipanggil neck spasm atau neck cramp, terjadi apabila tengkuk anda secara tiba-tiba ‘mengeras’ di luar kawalan anda, mengakibatkan kesakitan yang amat serta pergerakan di bahagian leher menjadi terbatas.
Fisiologinya, mana-mana otot pada tubuh kita berfungsi dengan mengecut dan memanjang secara berselang-seli untuk membolehkan sesuatu pergerakan terjadi.
Tetapi di dalam mekanisma neck spasm, otot-otot leher yang mengecut tidak memanjang semula selepas itu, menjadikan leher mengalami kesakitan secara tiba-tiba dan membataskan pergerakan leher (tidak boleh menoleh ke kanan atau kiri, tidak boleh mendongak atau menundukkan kepala).
.
Punca Sakit Tengkuk
.
Punca sebenar berlakunya neck spasm tidak dapat dipastikan dengan tepat sehingga kini.
Tetapi dipercayai bahawa otot-otot leher sebenarnya sedang cuba untuk melindungi dari kerosakan yang lebih teruk, atau telah menerima signal yang abnormal menyebabkan neck spasm terjadi.
Ada pesakit yang kerap kali melakukan pergerakan pelik pada bahagian leher (contohnya nak bagi leher ‘meletup’ untuk melegakan lenguh pada leher), lalu otot-otot leher telah memberi tindak balas yang pelik juga untuk menyelamatkan keadaan dari menjadi lebih teruk.
Antara punca yang menyebabkan wujudnya signal yang abnormal pula ialah:
- Masalah dari saraf tunjang contohnya slipped disc di bahagian leher, osteoarthritis atau apa jua keadaan yang menyebabkan keradangan di bahagian berdekatan otot leher.
- Respons abnormal dari sistem saraf akibat stress, anxiety, peripheral neuropathy (sejenis penyakit saraf).
.
Rawatan dan Petua Untuk Melegakan Sakit Tengkuk
.
Neck spasm kebiasaannya berlaku untuk jangka masa yang pendek sahaja (beberapa jam). Antara petua untuk melegakannya ialah seperti berikut:
- Senaman regangan leher : untuk melonggar dan melembutkan otot-otot leher yang sedang ‘stress’
- Urutan : membantu anda berasa lebih rileks. Tubuh yang rileks menjadikan otot-otot juga rileks dan ini akan mengurangkan kesakitan
- Ubat non-steroidal anti-inflammatory (NSAID) : sebagai ‘first-aid’ untuk melegakan kesakitan dengan segera, mengurangkan keradangan (Baca juga : Salahguna Ubat Tahan Sakit)
- Pek sejuk (cold pack) atau panas (hot pack)
.
Penggunaan pek sejuk berfungsi mengurangkan keradangan otot leher anda. Cuma masukkan ais atau air sejuk ke dalam plastik. Kemudian balutkan plastik tersebut dengan kain nipis, dan tekapkan pada bahagian leher yang sakit.
Penggunaan pek panas pula berfungsi meningkatkan pengaliran darah di bahagian yang sakit, merehatkan otot dan melegakan kesakitan.
Sama ada anda menggunakan pek panas atau sejuk, hadkan penggunaannya selama 15 minit dalam setiap 2 jam untuk mengurangkan risiko kerosakan pada kulit (Sebab itu perlu balut dengan kain nipis, bukan letak direct di atas kulit).
.
Bila Harus Berjumpa Doktor?
.
Apabila sakit leher anda berlanjutan beberapa hari atau lebih lama, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan memastikan ianya bukan dari punca masalah perubatan.
Baca juga : Cadangan Vitamin Untuk Masalah Sakit Tengkuk
Amalkan tiga perkara ini untuk mengekalkan kesihatan anda:
- Makanlah secara seimbang dan sihat,
- Rajin-rajin bersenam secara berkala,
- Ambil suplemen yang diperlukan secara bijak.