Bahayakah Jangkitan Kulit Impetigo?
Semenjak dua menjak ni, ramai pula kanak-kanak datang klinik dengan masalah jangkitan kulit impetigo. Bunyi ‘impetigo’ macam “penyakit pebenda la ni” kan. Meh Ain share info ringkas tentang penyakit ni.
.
Apa Itu Impetigo?
Impetigo merupakan sejenis jangkitan kulit yang disebabkan bakteria Streptococcus dan Staphylococcus yang menjangkiti kanak-kanak lebih kerap berbanding orang dewasa, dan lebih banyak berlaku di kawasan panas dan lembab macam negara Malaysia tercinta kita ni.
Penyakit in sangat mudah berjangkit melalui sentuhan ke atas kulit yang dijangkiti ataupun secara tidak langsung melalui sentuhan barang-barang pesakit seperti tuala dan baju mereka. Walau bagaimanapun, impetigo sangat mudah untuk dirawat dan kebanyakan kes tidak meninggalkan parut pada kulit.
Bergantung kepada jenis impetigo itu sendiri, pesakit boleh hadir ke klinik dengan aduan jangkitan pada kulit.
.
Non-bullous Impetigo
Impetigo jenis non-bullous lebih kerap berlaku, boleh disebabkan oleh kedua-dua bakteria Streptococcus dan Staphylococcus tadi.
Seseorang yang dijangkiti non-bullous impetigo akan mengalami ‘ruam’ seperti gigitan nyamuk pada mulanya. Ruam ini kemudiannya akan dengan cepat membentuk blister, seterusnya bernanah (pustules) dan akhirnya membentuk keruping berwarna seperti madu. Perubahan ini mengambil masa kira-kira seminggu.
Kebiasaannya, impetigo jenis ini menjangkiti kulit di sekeliling hidung dan muka. Lebih jarang lagi ialah bahagian kaki dan tangan. Melalui pemeriksaan fizikal juga akan mendapati pembengkakan lymph node yang berhampiran kulit yang dijangkiti.
.
Bullous Impetigo
Bagi jenis bullous impetigo pula, hanya disebabkan oleh bakteria Staphylococcus sahaja.
Bakteria ini menghasilkan toksin yang mengurangkan keboleh-lekatan (stickiness) antara sel-sel kulit, menyebabkan lapisan epidermis terkeluar dari lapisan dermis membentuk blisters (juga dipanggil bullae).
Bullous impetigo boleh menjangkiti mana-mana bahagian kulit pesakit, terutamanya punggung dan badan.
Blisters yang terhasil tadi sangat fragile dan mengandungi cecair berwarna kekuningan. Oleh sebab itu, ianya mudah pecah dan akan meninggalkan kawasan kulit yang ‘nampak isi’ kemerahan. Ini akhirnya akan membentu keruping berwarna kehitaman.
.
Rawatan dan Penjagaan Pesakit
.
Bagi mereka yang didiagnos impetigo, berikut adalah antara yang boleh dilakukan:
- Bersihkan kawasan yang dijangkiti dengan lembut dan buang keruping yang ada jika boleh
- Setelah dikeringkan, sapukan krim atau ointment yang mengandungi antibiotik (dapatkan dari doktor)
- Untuk kes yang lebih teruk, kemungkinan memerlukan oral antibiotik
- Ahli keluarga pastikan membasuh tangan dengan bersih (7 Langkah Membasuh Tangan Dengan Betul) sebelum dah selepas memegang pesakit (contoh : bagi makan anak kecil)
.