Implanon : Apa Anda Perlu Tahu dan Kesan Sampingannya

Implanon : Apa Anda Perlu Tahu dan Kesan Sampingannya

Jangan pandang sebelah mata dengan sebatang rod bersaiz seperti sebatang mancis ini. Nampak sahaja kecil, tetapi keberkesanannya sebagai kaedah kontraseptif adalah sangat tinggi (melebihi 99.9%!). Namun, seperti kaedah-kaedah yang lain, ia juga mempunyai kesan sampingan dan tidak semua wanita sesuai menggunakan Implanon.

.

Apa Itu Implanon?


Implanon merupakan salah satu kaedah perancang keluarga yang available di Malaysia, yang merupakan sebatang rod kecil berukuran kira-kira 4cm sahaja, dimasukkan di bawah lapisan kulit di mana ia bertindak.

Kandungannya, etonorgestrel adalah mirip hormon semulajadi progesteron. Jadi seperti progesteron, ia bertindak menghalang penghasilan ovum (telur) setiap kali kitaran haid seseorang wanita. Ia juga menjadikan cecair serviks lebih pekat untuk menghalang kemasukan sperma ke dalam rahim, lalu menghalang persenyawaan dengan ovum. Tiada ovum dan/atau persenyawaan berlaku, maka tidaklah seseorang wanita itu akan hamil.

.

Bagaimana seorang wanita boleh hamil?


Seorang wanita boleh hamil kerana adanya kitar haid.

Selepas haid, folikel akan mula terbentuk di dalam ovari. Folikel ini mengandungi ovum yang apabila sampai masanya akan dilepaskan dari ovari (inilah proses ovulasi). Dalam masa yang sama semasa pembentukan folikel, dinding rahim juga akan mula menebal dan semakin menebal dari hari ke hari.

Ovum yang disenyawakan oleh sperma akan membentuk janin – wanita itu hamil. Ovum yang tidak disenyawakan dalam masa kira-kira 24 hingga 48 jam, akan menyebabkan kemerosotan hormon lalu dinding rahim yang menebal tadi akan meluruhkan dirinya (berlakunya pendarahan haid).

Dengan adanya Implanon, ianya bertindak menghalang proses ovulasi, dan menjadikan cecair serviks lebih pekat untuk menyukarkan pergerakan sperma untuk sampai kepada ovum.

.

Bagaimana Implanon Dipasang?


  1. Pemasangan Implanon hendaklah dilakukan oleh pegawai perubatan terlatih di klinik/hospital sahaja.
  2. Implanon akan dipasang di bawah lapisan dermis kulit di bahagian dalam lengan anda (kebiasaannya pada tangan yang tidak dominan).
  3. Kawasan untuk memasang implan ditandakan dan di’sterilize‘ menggunakan larutan antiseptik.
  4. Ubat bius setempat disuntik.
  5. Sedikit kulit sahaja akan ditoreh untuk memuatkan Implanon dimasukkan ke bawah lapisan dermis.
  6. Kebiasaannya tidak memerlukan atau 1 jahitan sahaja diperlukan untuk menutup semula luka.
  7. Anda sepatutnya boleh merasa rod kecil ini selepas ianya dipasang.

.

Bagi anda yang tidak pernah menggunakan mana-mana kaedah kontraseptif, Implanon boleh dipasang antara hari pertama hingga kelima haid. Jika tidak dipasang dalam tempoh masa ini, anda memerlukan kaedah barrier seperti kondom dari hari pemasangan sehingga hari ketujuh.

Untuk anda yang hendak bertukar kepada Implanon, ianya boleh dipasang pada bila-bila masa sebaik sahaja anda stop kaedah perancang yang sebelumnya. Contohnya hari ini ialah hari terakhir anda perlu mengambil pil perancang. Jadi, esoknya dah boleh terus pasang Implanon.

implanon kesan sampingan

Bahagian kulit di mana Implanon dimasukkan. Rujuk VIDEO INI untuk melihat prosedur memasang Implanon.

.

Kelebihan Implanon


  • Kedah kontraseptif jangka masa panjang yang berkesan sehingga 99.9%
  • Prosedur out-patient yang ringkas dan cepat
  • Tidak perlu mengira dan menentukan waktu subur untuk mencegah kehamilan
  • Sesuai untuk wanita yang mudah lupa. Tidak seperti jika mengambil pil perancang, anda perlu mengambil pada waktu yang sama setiap hari selama 21 hari
  • Selamat untuk ibu menyusu
  • Murah untuk jangka masa panjang
  • Kesan kontraseptif dan kesan sampingan akan hilang dengan segera sebaik ianya dikeluarkan
  • Tahan lama, iaitu tarikh luputnya selepas 5 tahun dan Implanon baru boleh terus digantikan sebaik sahaja yang lama dikeluarkan.

.

Implanon Kesan Sampingan & Kekurangan


  • Hanya boleh dipasang atau dikeluarkan oleh doktor atau pegawai kesihatan terlatih sahaja
  • Wanita boleh mengalami sedikit rasa sakit atau lebam di kawasan pemasangan Implanon beberapa hari selepas ianya dimasukkan.
  • Kesan sampingan implanon biasanya hanya yang ringan-ringan sahaja seperti pendarahan yang sedikit (spotting), kurang menyakitkan atau haid berhenti selagi masih berada di bawah kulit wanita. Ada kalanya boleh menyebabkan pendarahan haid yang tidah menentu atau tidak boleh dijangka
  • Implanon yang dipasang menggunakan cara yang tidak cukup bersih juga berisiko dijangkiti kuman. Tanda-tanda jangkitan ialah seperti mengalami demam dan dalam masa yang sama juga tempat implan dimasukkan kemerahan, bengkak dan panas.
  • Kebarangkalian untuk hamil sepanjang memakai Implanon masih ada walaupun sangat rendah (0.01% sahaja).

.

Cara Implanon Dikeluarkan


Tarikh luput Implanon ialah 5 tahun dari tarikh ianya dipasang. Namun, jika terdapat tanda-tanda jangkitan, ianya perlu dikeluarkan segera.

  1. Implanon hendaklah dikeluarkan oleh pegawai perubatan terlatih di klinik/hospital sahaja.
  2. Rod Implanon perlu dirasa dan dipastikan kedudukannya terlebih dahulu.
  3. Kawasan untuk kulit ditoreh sedikit disuntik dengan ubat bius setempat.
  4. Torehan kulit dilakukan.
  5. Hujung rod disepit menggunakan sejenis instrumen dan dikeluarkan sepenuhnya.
  6. Kawasan torehan mungkin tidak perlu atau memerlukan sedikit jahitan sahaja.

.

Kontraindikasi


Implanon tidak sesuai jika anda:

  • sedang hamil (buat ujian kehamilan dahulu jika haid terakhir anda melebihi sebulan)
  • mempunyai sejarah kanser payudara dalam masa 5 tahun terbaru
  • ada mengambil ubat-ubat tertentu seperti ubat untuk merawat sawan. Sebaiknya maklumkan kepada doktor semasa konsultasi.
kitar haid wanita

Dalam kitar haid seorang wanita, apabila ovulasi berlaku, jika persenyawaan terjadi, akan menyebabkan wanita itu hamil. Implanon menghalang ovulasi berlaku, selain menjadikan cecair serviks wanita lebih pekat supaya lebih sukar sperma boleh sampai kepada ovum.

.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara untuk merancang keluarga selain Implanon.

Perancangan keluarga yang baik mampu memberikan masa rehat yang cukup untuk ibu yang telah mengandung selama 9 bulan, kemudian melahirkan dan menyusukan. Anak yang dilahirkan juga berhak mendapat kasih sayang dan perhatian secukupnya dari kedua ibu bapa.

Rancang keluarga, rancang untuk masa depan.

Baca juga entri : 13 Punca Kenapa Cecair Faraj Berbau

.