tragedi gua tham luang

Seumur hidup Ain, inilah kali pertama Ain ikut kisah mendebarkan macam tragedi gua Tham Luang di Thailand ni dengan penuh emosi. Kisah ni mulanya diceritakan oleh encik suami Ain beberapa hari lepas (kalau tak silap hari Sabtu 7 Julai 2018).

Tragedi bermula pada 23 Mei 2018, apabila seramai 12 orang remaja berusia antara 12 hingga 16 tahun, diiringi pembantu jurulatih bola sepak mereka berusia 25 tahun, ke gua Tham Luang di Chiang Rai, Thailand selepas selesai bermain bola sepak. Ketika itu hujan turun dengan lebatnya.

Keesokannya, pihak berkuasa menemui kesan tapak tangan dan kaki mereka di dalam gua tersebut. Diikuti dengan operasi menyelamat oleh penyelam tentera laut Thailand pada 25 Julai 2018.

Namun, kerana terdapat pelbagai cabaran untuk memasuki gua tersebut oleh penyelam Thailand dan penyelam antarabangsa, masa yang dipanjang diambil sebelum mereka berjaya ditemui. Antaranya, banjir deras dan laluan sempit yang menyukarkan untuk melepasinya. Terdapat juga berita menyatakan seorang penyelam antarabangsa maut kerana kekurangan oksigen di dalam gua.

Sehingga akhirnya, kesemua mangsa tragedi ditemui pada lewat petang 2 Julai 2018, iaitu hampir 2 minggu mereka kegelapan, kesejukan dan pastinya ketakutan di dalam gua yang dipenuhi air banjir.

Video di bawah ialah saat pertama ketika mereka yang terperangkap ditemui.

.

.

Cabaran-cabaran Menyelamatkan Mangsa Gua Tham Luang

.

  1. Laluan sempit di beberapa kawasan dari pintu masuk gua ke tempat mangsa terperangkap. Ada masa-masa penyelam terpaksa melepaskan tangki oksigen kerana laluan itu muat-muat untuk saiz seorang sahaja.
  2. Terdapat juga bukit setinggi 30 meter yang perlu didaki di dalam gua yang dipenuhi air banjir lumpur itu.
  3. Air lumpur tebal menjadikan tahap penglihatan di tahap sifar!
  4. Keadaan dalam gua yang gelap.
  5. Paras oksigen yang semakin menurun.
  6. Jarak dari pintu masuk gua ke tempat mangsa terperangkap ialah kira-kira 4 km
  7. Penyelam memerlukan kira-kira 7 jam sebelum berjaya sampai ke tempat mangsa terperangkap
  8. Cubaan menggerudi dari luar bukit/gunung adalah mustahil kerana jaraknya ialah kira-kira 1km, jadi akan memerlukan masa yang panjang. Sedangkan musim monsun dengan hujan lebat memungkinkan laluan tenggelam dan mangsa boleh terus terperangkap di dalam gua itu selama 4 bulan! (sehingga bulan Oktober 2018)
  9. Remaja-remaja yang terperangkap ini tidak tahu berenang!

.

Mari kita tengok gambaran simulasi penuh cabaran di dalam gua Tham Luang ini, berdasarkan video yang mudah difahami ini (diambil dari Astro Awani) :

.

.

Oleh kerana itu, tragedi ini mendapat perhatian antarabangsa. Negara-negara besar termasuk Amerika, United Kingdom, China, Jepun, Laos dan Myamnar turut sama-sama menyumbangkan kepakaran masing-masing.

Pelbagai usaha juga dilakukan untuk mempermudahkan operasi seperti mengepam air keluar dan menggerudi laluan yang sempit. Walau bagaimanapun, para penyelamat berdepan dengan cabaran utama iaitu cuaca, masa dan oksigen.

Operasi menyelamatkan mangsa tragedi bermula Ahad 8 Julai 2018, yang mana 4 remaja paling lemah berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital di Chiang Rai.

Sementara itu, operasi kedua ialah keesokannya, Isnin 9 Julai 2018, berjaya mengeluarkan 4 remaja lagi, menjadikan jumlah yang berjaya diselamatkan seramai 8 orang.

Dan hari ini, operasi ketiga berjaya menyelamatkan 5 orang mangsa yang tinggal ermasuk pembantu jurulatih.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

.

.

Apa Terjadi Kepada Mangsa Tragedi?

.

DIlaporkan, kesemua mangsa segera dihantar ke hospital di Chiang Rai. Sehingga 8 mangsa pertama, kesemua mereka dilaporkan mengalami masalah jangkitan,

Kesemua mangsa akan diperhatikan di hospital sekurang-kurangnya selama seminggu.

Minggu lepas, berita melaporkan Presiden Fifa, Gianni Infantino, menjemput semua remaja mangsa termasuk coach untuk ke perlawanan akhir World Cup di Russia sekiranya mereka berjaya diselamatkan sebelum perlawanan.

Namun, kerana keadaan kesihatan mereka tidak mengizinkan dan perlu dikuarantin sekurang-kurangnya seminggu, jemputan ini tidak tertunai.

Klik Berita Oleh Astro Awani ini untuk bacaan lanjut tentang ini.

.

Siapakah Jurulatih Yang Mengiringi 12 Remaja Ini?

.

Pembantu jurulatih “Wild Boars” (nama pasukan bola sepak ini) yang mengetuai pasukan ini ke gua Tham Luang bernama Ekapol Chantawong, berusia 25 tahun.

Ketika usianya 10 tahun, beliau telah kehilangan kedua ibu bapa dan adik berusia 7 tahun kerana wabak penyakit di utara Thailand.

Semenjak itu, beliau ditempatkan di sebuah kuil untuk memperkuatkan jiwanya setelah kehilangan kesemua ahli keluarganya.

Peranan Ekapol di dalam tragedi ini sangat penting. Yang mana beliau telah memberi semangat dan mengajar remaja ini tentang ketabahan hidup.

Wira-wira lain dalam operasi ini boleh dibaca dengan agak panjang lebar di dalam berita dari Astro Awani bertajuk Kenali Wira-wira Penyelam Gua Tham Luang.

.

.

Dalam video di atas, ditunjukkan submarin ciptaan SpaceX yang dihasilkan untuk membantu misi menyelamat mangsa gua Tham Luang. Tetapi dinyatakan bahawa tidak praktikal untuk menyelamatkan mangsa di dalam gua Thailand. Baca berita bertajuk “Elon Musk’s Submarine Not Practical For This Mission“.

Apa pun, syabas Elon Musk sebab bertindak pantas dan tak berkira nak keluarkan wang yang banyak untuk submarine ini.

.

Kesimpulannya, agak banyak pengajaran yang boleh dipelajari dari tragedi gua Tham Luang ini.

Pertamanya, kita mungkin takkan berjaya jika tidak bersatu.

Jika dilihat dari tragedi ini, kuasa-kuasa besar yang berkepakaran (penyelam, pengkaji gua, doktor, dan sebagainya) turut sama ‘turun padang’ bagi membantu misi menyelamatkan mangsa. Tanpa mengira negara, kaum dan agama, isu kemanusiaan menjadi nombor satu.

Keduanya, sebesar mana cabaran walau boleh meragut nyawa dan berisiko tinggi, jika kita yakin dan berganding bahu, pasti akan berjaya InsyaaAllah.

Terima kasih kepada semua penyelamat mangsa tragedi. Tidak lupa juga terima kasih kepada seluruh dunia kerana turut memberi sokongan dan doa yang tak putus-putus. =)