zat besi untuk ibu hamil

Salah satu keperluan nutrisi harian ibu hamil ialah zat besi. Namun, pernahkah anda terfikir, bagaimana pula dengan ibu hamil yang merupakan seorang pembawa atau pesakit thalassemia?

Adakah mereka juga turut memerlukan zat besi setiap hari apabila disahkan hamil?

Kerana sesetengah pesakit thalassemia berisiko mengalami masalah ‘iron overload’ yang boleh merosakkan organ-organ dalaman. Jadi, jika ambil zat besi semasa hamil, adakah ini akan memudaratkan mereka?

Untuk memahami lebih lanjut tentang persoalan ini, mari kita fahamkan dahulu apa itu sel darah merah, dan bagaimana ia dihasilkan.

.

Apa Itu Sel Darah Merah dan Hemoglobin?

.

Sel darah merah (RBC, red blood cells) ialah sel darah yang paling banyak terdapat dalam badan kita, merangkumi kira-kira 45-55% daripada jumlah sel darah.

Ianya mengandungi hemoglobin yang memberi warna merah kepada darah, dan penting untuk mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh badan, dan membawa kembali karbon dioksida dari seluruh badan ke paru-paru untuk disingkirkan.

Hemoglobin terbina dari protein alfa dan beta. Untuk menghasilkan hemoglobin, salah satu yang diperlukan ialah zat besi.

Secara amnya, sel darah merah berbentuk dwicembung dengan bahagian tengah yang rata di kedua-dua belah (seperti donut) dan jangka hayat sel darah merah yang normal ialah 120 hari.

Bermaksud, setiap 120 hari, sel darah merah “tua” akan dihapuskan, digantikan dengan sel darah merah yang baru.

zat besi untuk ibu hamil

Apa Itu Thalassemia?

.

Thalassemia ialah penyakit darah yang boleh diwariskan, di mana badan pesakit menghasilkan sel darah merah dengan bentuk yang abnormal atau mengandungi jumlah hemoglobin yang tidak mencukupi.

Disebabkan ini, sel darah merah pesakit thalassemia lebih cepat dimusnahkan (kurang dari 120 hari) sebelum sempat badan menghasilkan sel darah merah yang baru, lalu mengakibatkan masalah anemia.

Bergantung kepada jenis thalassemia, ada pesakit yang memerlukan transfusi darah secara berkala, ada yang perlukannya sekali-sekala, ada yang tidak perlukan transfusi darah, dan ada juga yang hanya ‘membawa’ genetik thalassemia (pembawa, carrier) dan diturunkan kepada anak cucu sahaja.

Thalassemia boleh didiagnos melalui ujian lanjutan yang dipanggil Hb Analysis atau/dan DNA Analysis apabila pesakit disyaki mengalami thalassemia daripada bacaan Ful Blood Count.

Bagi ibu hamil, masalah anemia sudah tentulah sesuatu yang tidak diingini kerana boleh menjejaskan kehamilan dan bayi dalam kandungan juga turut berisiko.

.

Risiko-risiko Anemia Untuk Ibu Hamil

.

Oleh kerana fungsi hemoglobin yang penting untuk pengangkutan gas-gas respirasi, masalah anemia boleh mengakibatkan kekurangan oksigen di seluruh badan termasuk bayi dalam kandungan ibu hamil.

Jadi untuk ibu hamil, anemia membawa risiko-risiko berikut:

  • Kelahiran pramatang
  • Bayi bersaiz lebih kecil dari yang sepatutnya (low birth weight)
  • Meroyan (postpartum depression)
  • Bayi yang lahir juga boleh bermasalah anemia
  • Mengganggu perkembangan dan pertumbuhan bayi

.

Risiko Zat Besi Berlebihan (Iron Overload) Bagi Pesakit Thalassemia

.

Bagi pesakit thalassemia, iron overload merupakan penyebab utama morbiditi dan gangguan organ-organ dalaman.

Dalam tubuh badan seorang yang sihat tanpa thalassemia, zat besi akan digunakan untuk menghasilkan sel darah merah normal. Sekiranya berlebihan, ianya akan diangkut oleh sejenis protein dipanggil transferrin ke tisu-tisu badan tertentu untuk disingkirkan secara semulajadi.

Zat besi yang ‘dipegang’ oleh transferrin ini adalah tidak membahayakan.

Berbeza dengan pesakit thalassemia – mereka bermasalah untuk menghasilkan sel darah merah yang normal.

Kerana masalah ini, badan pesakit mengesan anemia dan bertindak balas dengan meningkatkan penyerapan zat besi kononnya untuk menghasilkan lebih banyak sel darah merah lagi (tetapi tetap tidak akan menghasilkan sel darah merah normal juga).

Jadi, akan berlakulah pengumpulan zat besi berlebihan dari semasa ke semasa terutamanya jika pesakit yang memerlukan transfusi darah secara berkala. Pesakit yang tidak memerlukan transfusi juga berisiko kerana penyerapan zat besi juga dari pemakanan.

Paras zat besi yang berlebihan ini menyebabkan transferrin tidak berupaya lagi untuk ‘memegang’ kesemua zat besi tersebut. Jadi, zat besi bebas bergerak di dalam darah. Zat besi yang bebas ini kemudiannya boleh memasuki organ-organ seperti jantung, hati dan lekenjar-kelenjar, lalu mengganggu fungsi-fungsi organ dan akhirnya mengakibatkan kegagalan organ.

Jadi, bagi pesakit thalassemia yang mempunyai masalah iron overload, akan diberi rawatan chelation untuk membantu mengeluarkan zat besi berlebihan dalam darah untuk mencegah masalah gangguan terhadap organ-organ.

.

Jadi, Bagaimana Dengan Zat Besi Untuk Ibu Hamil Yang Ada Thalassemia?

.

Sekiranya anda adalah seorang pesakit thalassemia (termasuk pembawa) yang disahkan hamil, dapatkan nasihat doktor yang merawat terlebih dahulu sebelum mengambil zat besi. Baik dari pemakanan mahupun suplemen.

Jika kebaikan zat besi adalah melebihi risikonya untuk anda, doktor akan menyarankan pengambilan zat besi. Dan begitu juga sebaliknya.

.

Sumber : thalassemia.com, Medline, CDC.

DISCLAIMER : ENTRI INI BUKAN BERTUJUAN SEBAGAI RUJUKAN LENGKAP DAN TIDAK BOLEH MENGGANTIKAN NASIHAT DOKTOR YANG MERAWAT ANDA.

.

Testimoni ibu hamil thalassemia yang dibenarkan mengambil zat besi. Baca entri Anemia Ketika Hamil untuk cadangan suplemen selain zat besi untuk ibu hamil.

.

Ainniah Zulkefli
Pengedar Shaklee Butterworth
Whatsapp 0164214704
COD Seberang Jaya, Sungai Dua, Butterworth, Kepala Batas
Poslaju ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak