Apa Itu GERD? | GERD ialah singkatan bagi gastro-esophageal reflux disease.

Gastro‘ bermaksud perut, ‘esophagus‘ ialah salur pencernaan yang menyambungkan mulut kepada perut, dan ‘reflux‘ pula bermaksud ‘patah balik’.

Lihat gambar ini.

apa itu gerd

Gambar sebelah kanan menunjukkan keadaan normal di mana apabila makanan masuk ke dalam perut, injap (sphincter) yang menghubungkan hujung esophagus dengan perut akan mengecut dan menutup laluan masuk ke perut.

Di sebelah kiri pula menunjukkan keadaan GERD, di mana injap tadi masih terbuka, menyebabkan kandungan berasid perut boleh masuk semula (‘patah balik’) ke dalam esophagus.

.

Kenapa Ini Boleh Berlaku?

.

Punca utamanya ialah injap yang berfungsi secara abnormal. Ini boleh terjadi disebabkan faktor-faktor seperti obesiti, mengalami hiatal hernia, ibu hamil (faktor hormon dan perut yang semakin membesar) atau ada masalah tisu penghubung (connective tissue disease, contohnya scleroderma).

Keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya anda:

  • seorang perokok
  • mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak
  • makan lewat malam
  • mengambil makanan tertentu terutamanya yang berlemak dan bergoreng
  • mengambil minuman tertentu seperti alkohol dan kopi (kafein)
  • mengambil ubat tertentu seperti aspirin

apa itu gerd

Ibu hamil cenderung mengalami GERD kerana pelbagai faktor – hormon progesteron merehatkan injap, pencernaan lebih lambat, perut yang semakin membesar.

.

Anda yang mengalami GERD mempunyai gejala-gejala ini…

.

Apabila kandungan perut yang berasid tadi masuk semula ke dalam esophagus, anda boleh mengalami masalah berikut – rasa seperti terbakar di bahagian tengah dada (burning sensation), sakit dada (perlu ke klinik untuk pastikan anda bukan mengalami serangan jantung), kesukaran untuk menelan (rasa seperti ada ketulan di tekak) dan mengalami rasa pahit masam yang memedihkan di tekak.

Ada juga yang diserang GERD pada waktu malam ketika sedang tidur. Mereka biasanya mengalami batuk yang kronik tak ketahuan punca dan tidur terganggu.

Dan terdapat juga pesakit yang tiba-tiba kerap pula mengalami kesukaran bernafas lalu didiagnos asthma. Manakala yang sudah sedia ada asthma pula, tidak mustahil boleh mengalami penat yang lebih teruk dan serangan yang lebih kerap.

Baca juga entri Buang Angin Dalam Badan Dengan 7 Tips Mudah.

apa itu gerd

.

Apa Akan Jadi Jika Keadaan Ini Berterusan?

.

Lapisan esophagus yang terganggu secara berterusan oleh kandungan perut yang berasid, lama kelamaan boleh menyebabkan laluan esophagus menjadi sempit. Bila laluan ke perut semakin sempit, susahlah anda nak telan makanan. Anda boleh rasa seperti makanan tersekat di dada.

Selain itu, kerana asid sifatnya menghakis, ulser boleh terbentuk menyebabkan pedih perut yang menyakitkan.

Dan lagi satu, masalah GERD yang kronik boleh menjurus kepada pembentukan Barrett’s esophagus. Keadaan ini bahaya sebab meningkatkan risiko kanser esophagus!

.

“Jadi, apa perlu saya buat kalau ada masalah di atas?”

.

Segeralah berjumpa doktor. Pertamanya untuk pastikan anda bukan sedang alami masalah yang leih serius seperti serangan jantung. Keduanya, untuk diagnos GERD dan dapatkan rawatan yang betul.

Antara rawatan yang dicadangkan bertujuan mengurangkan faktor risiko yang ada seperti:

  1. Kawal pemakanan dengan mengambil makanan seimbang (Baca tentang Pemakanan Suku Suku Separuh)
  2. Elakkan makanan tinggi lemak, bergoreng dan pedas.
  3. Makan malam lebih awal sekurang-kurangnya 2-3 jam sebelum masuk tidur.
  4. Kunyah sehingga lumat dan makan perlahan-lahan (molekul makanan yang lebih kecil lebih mudah dicerna).
  5. Elakkan pengambilan alkohol dan minuman berkafein.
  6. Mendapatkan berat badan ideal.
  7. Berhenti merokok.
  8. Tinggikan katil sedikit kira-kira 2-5 inci supaya kepala anda lebih tinggi ketika tidur.

.

Selain mengubah corak pemakanan yang lebih sihat dan gaya hidup yang sihat, rawatan perubatan ialah:

  1. Mengambil ubat yang dipreskripsi seperti yang disarankan.
  2. Pembedahan dilakukan untuk kes-kes tertentu sahaja.

.

apa itu gerd

Sekian entri “Apa Itu GERD?”. Semoga bermanfaat untuk anda yang ingin hidup sihat.