Pemilihan produk untuk kulit kering pastinya sesuatu yang dititik beratkan buat anda yang mempunyai kulit (masalah) jenis ini. Jika tersilap membuat pilihan dikhuatiri boleh mengakibatkan kulit anda menjadi lebih kering, lebih mengelupas dan ianya mestilah memedihkan!

Anda yang mempunyai kulit kering juga lebih cenderung untuk mempunyai garisan halus dan kedutan lebih cepat berbanding mereka yang berkulit berminyak, kombinasi atau normal. Jadi, pemilihan produk penjagaan kulit amat penting supaya tidaklah anda akan tampak jauh lebih tua dari usia.

produk untuk kulit kering

Tidak tahu kulit anda jenis yang bagaimana? Bacalah entri Cara Tentukan Jenis Kulit Muka Anda ini.

.

1# ASID HIALURONIK (HYALURONIC ACID)

Ianya merupakan bahan yang secara semulajadinya terdapat di dalam kulit kita. Asid hialuronik berupaya memegang 1000 kali ganda beratnya di dalam air, jadi merupakan penghidrat yang sangat powerful! Sebab itulah asid hialuronik sangat popular digunakan di dalam kebanyakan losyen dan pelembap kulit.

.

2# ASID LAKTIK (LACTIC ACID)

Asid laktik ialah sejenis AHA (alpha-hydroxy acid) yang berfungsi menanggalkan sel kulit mati dari permukaan luar kulit.

Selain dari itu, asid laktik juga merupakan “humectant“, iaitu bahan yang berupaya menarik kelembapan dan mengumpulkan molekul air di sekitarnya untuk menghidrat.

Ianya dihasilkan daripada susu.

.

3# VITAMIN E (TOCOPHEROL)

Merupakan bahan bersifat anti-keradangan semulajadi, vitamin E sangat dikenali sebagai bahan yang baik untuk kesihatan kulit terutamanya kulit jenis sensitif. Kulit jenis sensitif kebiasaannya amat mudah mengelupas dan kegatalan. Jadi, masukkan vitamin E dalam senarai yang anda perlu cari ya.

.

4# ALOE VERA

Berasal dari tumbuhan renek yang mudah ditanam dan didapati di mana-mana sahaja, aloe vera mempunyai batang tebal yang mempunyai kandungan air yang tinggi. Sangat baik disapu pada wajah yang kemerahan selepas mengalami sunburn.

produk untuk kulit kering

Baca 10 manfaat aloe vera untuk kesihatan dan kecantikan kulit DI SINI.

.

5# PETROLATUM

Bahan ini bersifat “occlusive“. Petrolatum yang disapu pada kulit akan menghasilkan satu lapisan yang menghalang kehilangan kelembapan dari kulit. Oleh kerana itu, ia sesuai disapukan sebagai lapisan terakhir selepas pelembap atau “humectant“.

.

6# GLISERIN (GLYCERIN)

Gliserin juga adalah sejenis “humectant” yang mampu menarik kelembapan dari sekitarnya, selain kandungan kelembapan dan emoliennya yang tinggi. Banyak juga produk penjagaan kulit yang mempunyai gliserin di pasaran.

.

7# SHEA BUTTER

Haaa, shea butter ni tindakannya istimewa sedikit, berbeza dengan bahan-bahan lain. Shea butter yang disapuĀ  akan meresap ke dalam kulit lalu menghasilkan selapisan yang berfungsi mengekalkan kelembapan.

.

8# MINYAK ARGAN

Diekstrak dari pohon Argan, ianya kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang berfungsi untuk menangani masalah kulit kering.

minyak argan

Selain manfaatnya untuk kulit kering, minyak argan juga banyak dijadikan produk untuk kesihatan dan kecantikan rambut kerana khasiatnya.

.

9# ALKOHOL BERLEMAK (FATTY ALCOHOLS)

Contoh bahan dalam kategori alkohol berlemak ialah lauryl, stearyl dan oleyl. Pernah dengar kan?

Bahan-bahan ini adalah lemak dan minyak semulajadi yang menghasilkan lapisan pelindung yang melembapkan. Dan dalam masa yang sama menghalang kehilangan air dari kulit. Sambil menyelam minum air gitu!

.

10# UREA

Ya, urea ialah sejenis pelembap dan mampu menanggalkan sel kulit mati (eksfoliasi) dengan berkesan. Walau bagaimanapun, hati-hati dengan penggunaannya, kerana boleh menyebabkan iritasi pada kulit terutamanya kulit sensitif.

.

11# CERAMIDE

Molekul ceramide terdiri daripada lapisan lemak yang berminyak. Ceramide ialah bahan yang penting dalam lapisan paling luar kulit yang dinamakan stratum corneum. Lapisan ini ialah lapisan pelindung semulajadi kulit kita.

.

12# SQUALENE

Squalene bertindak seperti pelembap semulajadi di dalam kulit kita. Jadi, ianya tidak akan menyebabkan iritasi atau menyumbatkan liang pori.

Selain itu, squalene juga bersifat anti-oksidasi dan mempunyai sifat anti-penuaan. Sesuai sangat untuk anda yang tidak mahu cepat nampak tua!

.

13# PANTHENOL

Merupakan provitamin kepada vitamin B5, panthenol berfungsi sebagai pelembap khas untuk mempercepatkan penyembuhan luka kerana bersifat “humectant“.

produk untuk kulit kering

Kulit kering lebih cenderung garisan halus dan kedutan. Pemilihan produk yang betul mampu melambatkan penuaan kulit anda.

.

CADANGAN PRODUK UNTUK KULIT KERING

Produk-produk di bawah hanyalah cadangan dari saya dari pembacaan dan hasil carian di laman sesawang.

  • Neutrogena, SkinCeutical (mengandungi asid hialuronik)
  • Dermalogica (mengandungi asid laktik)
  • Vaseline, Aquaphor (mengandungi petrolatum)
  • Cetaphil, La Roshe-Posay (mengandungi gliserin)
  • Kiehl’s, Murad (mengandungi alkohol berlemak)
  • CosRX Ceramide, CeraVe (mengandungi ceramide)

.

Jadi, sudah semak semula produk penjagaan kulit anda? Adakah mempunyai mana-mana daripada bahan-bahan ini?

Kalau produk untuk kulit kering yang sekarang tidak membantu anda, bolehlah mulakan pencarian produk yang sesuai berdasarkan bahan-bahan dalam entri ini. Semoga ada manfaatnya untuk anda. Terima kasih kerana membaca!

Untuk menjaga kesihatan dan kecantikan kulit dari dalam pula, sudilah menambah pengetahuan dari entri INI.