Salicylic Acid : Banyak Rupanya Kegunaan Untuk Kulit
Salicylic acid ialah sejenis beta-hydroxy acid (BHA) yang boleh didapati secara semulajadi dari tumbuhan seperti batang pokok willow, buah-buahan yang masih mentah dan pelbagai sayuran.
Ianya berupaya mengeksfoliasi kulit dengan memecahkan ikatan yang memegang sel kulit mati dengan kulit kita. Selain itu, mekanisma lain asid popular ini juga ialah memperbetulkan proses penghasilan sel kulit baru yang bermasalah (corrects abnormal keratinization) dan ia juga menyebabkan pengelupasan kulit jika kepekatan yang lebih tinggi digunakan.
Melalui mekanisma ini, salicylic acid boleh digunakan untuk pelbagai masalah kulit seperti yang akan diterangkan dengan lebih mendalam dalam entri ini.
.
.
1# KETUAT (WARTS)
.
Ketuat ialah ketulan tak membahayakan yang boleh muncul di mana-mana bahagian kulit akibat jangkitan virus terutamanya pada kanak-kanak. Sebanyak 65% kes ketuat yang tidak dirawat akan pulih dengan sendiri selepas beberapa ketika.
Namun, kerana ianya menyebabkan terganggunya penampilan seseorang, ketuat boleh dirawat menggunakan asid salisilik berkepekatan tinggi. Sebagai contoh yang terdapat di pasaran, cecair asid salisilik 12-27% dan plaster dengan kandungan asid salisilik 40% (boleh ditampal pada ketuat untuk menanggalkannya).
Asid salisilik, sifatnya keratolitik, iaitu bertindak melembutkan lapisan luar kulit yang terdiri daripada keratin, seterusnya merangsang proses penyingkiran sel kulit mati tersebut.
.
2# Salicylic acid sangat popular dalam rawatan masalah JERAWAT, PORI TERSUMBAT, WHITEHEAD, BLACKHEAD
.
Kerana keupayaan asid salisilik untuk melarutkan lemak, kandungannya di dalam pencuci muka dan skrub wajah membantu anda yang bermasalah jerawat.
Kepekatan yang dibenarkan untuk kegunaan di dalam produk penjagaan wajah ialah sebanyak 2% asid salisilik.
Jika digunakan pada wajah, ianya akan meresap ke dalam liang pori, melarutkan minyak berlebihan dan membantu membersihkan liang pori, serta mengurangkan masalah whitehead dan blackhead.
Kalau di klinik-klinik estetik pula, asid ini memang sangat popular digunakan dalam rawatan pengelupasan kimia kulit (chemical peeling).
.
3# CALLUS & TUMIT MEREKAH (CRACKED HEELS)
.
Seperti rawatan untuk ketuat, kepekatan salicylic acid yang lebih tinggi juga diperlukan untuk membantu masalah callus dan tumit merekah.
Antara lain, berikut ialah tips untuk menangani masalah callus dan cracked heels:
- Rendam kaki di dalam air suam untuk melembutka kulit keras pada tapak kaki. Kemudian menggosok callus atau tumit merekah secara lembut menggunakan “pumice stone” dalam pergerakan bulatan.
- Menyapu pelembap selepas kaki dibersihkan. Pelembap yang disapu secara berkala membantu mencegah kulit kasar menjadi semakin tebal.
- Memakai sarung kaki semasa tidur.
- Menggunakan “exfoliating cream” khas untuk menangani masalah callus atau tumit merekah.
- Memakai selipar atau kasut dengan tapak lembut dan bersesuaian dengan kaki anda untuk membantu mencegah kemunculan callus.
.
4# MASALAH KULIT TEBAL (HYPERKERATOTIC SKIN) & KULIT MENGELUPAS
.
Berbeza pula dengan masalah kulit tebal (hyperkeratotic) dan kulit mengelupas, antara pilihan yang ada untuk menangani masalah ini ialah salicylic acid yang terdapat dalam krim (6%), gel (3%), syampu (6%), dan ointment (2%).
.
5# MASALAH KELUMUMUR
.
Kerana fungsinya sebagai agen eksfoliasi, asid salisilik juga terdapat di dalam syampu atau produk penjagaan rambut bagi membantu masalah kelumumur. Kebiasaannya, boleh didapati pada kepekatan sekitar 2%.
.
Berhati-hati menggunakan produk yang mengandungi asid salisilik untuk kes-kes berikut:
.
- Masalah saraf yang signifikan (peripheral neuropathy) contohnya komplikasi saraf akibat kencing manis.
- Sedang menjalani rawatan fototerapi ultraviolet B (UVB phototherapy).
- Kanak-kanak bawah 2 tahun (untuk produk tertentu).
.
Salicylic acid TIDAK SESUAI digunakan jika anda mengalami yang berikut:
.
- Alahan terhadap asid salisilik
- Kencing manis dengan masalah pengaliran darah yang tidak baik.
- Keradangan kulit atau terdapat luka terbuka pada kulit.
- Tahi lalat dan tanda lahir.
- Ketuat yang mempunyai rambut.
- Ketuat pada kemaluan.
- Ketuat pada wajah dan lapisan mukosa (contohnya di dalam mulut).
.
Jadi, buat anda yang mencari-cari produk yang mengandungi asid salisilik untuk membantu masalah kulit anda, pastikan anda memilih mengikut masalah anda. Jangan lupa baca label dengan baik. Dan dapatkan nasihat doktor jika masalah yang anda hadapi berpanjangan.
.